Skip to main content

Sukan Asia

Pelayaran: Shazrin iringi Khairulnizam ke Tokyo

sharin.jpg
Tiupan angin kencang memastikan kebangkitan saat-saat akhir Nur Shazrin Mohd Latif untuk mengiringi Khairulnizam Mohd Afendy layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Syazrin meraih gangsa laser radial sementara Khairulnizam membawa pulang pingat perak dalam acara laser standard di Pusat Pelayaran Nasional, Jakarta, hari ini.

Angin selaju 18 knot cukup digemari Shazrin. Dia menggunakan kelebihan itu untuk memintas pelayar Thailand, Chanyim Mawolwan, sekali gus meraih tangga kedua laser radial.

Kedudukan itu sudah cukup untuk memintas Kamolwan dengan mengumpul 36 mata dengan kelebihan dua mata.

Khairulnizam pula bergelut apabila botnya terbalik pada pertengahan perlumbaan dan kesempatan itu digunakan pendahulu saingan, Ha Jae-min dari Korea Selatan, untuk mengekalkan kedudukan, sekali gus menyaksikan wakil negara itu meraih perak dengan 23 mata, kurang 1.2 mata berbanding lawannya itu.

Apa yang penting, Khairulnizam dan Shazrin muncul kumpulan pertama layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Saya akan terus beraksi hingga untuk dua tahun lagi. Jika saya mencapai sasaran di Tokyo nanti, saya akan melihat keadaan dan mungkin terus berkhidmat untuk negara," kata Khairulnizam.

"Saya berharap atlet-atlet terus bekerja keras. Bukan mudah untuk melangkah ke Sukan Olimpik," kata Shazrin.

Sementara itu, chef-de-mission (CDM) Malaysia, Datuk Seri Abd Azim Mohd Zabidi, mengakui peluang mencapai sasaran tujuh pingat emas kini umpama telur di hujung tanduk.

Beberapa sukan harapan seperti keirin berbasikal trek dan skuasy berpasukan wanita gagal menepati sasaran.

Harapan terbaik ialah menerusi skuad hoki lelaki negara yang akan berdepan Jepun dalam final, malam esok.

"Skuad negara akan berdepan Jepun. Kami mengharapkan emas ketujuh dapat diraih bagi memastikan sasaran dapat dicapai," kata Azim.

Advertisement

Must Watch Video