OLAHRAGA
Pelari pecut negara perlu ada strategi -- Nazmizan
Kejohanan Olahraga Terbuka Singapura yang bermula Khamis ini bakal menyaksikan pertembungan raja pecut negara, Khairul Hafiz Jantan, dan juara bertahan, Eric Shawn Cray.
Cray memiliki catatan lebih baik pada musim ini dengan 10.29 saat, sementara Khairul Hafiz tidak pernah berdepan jaguh dari Filipina itu sejak memecah rekod kebangsaan, tahun lalu.
Pelari kelahiran Melaka itu menghuni ranking pertama Asia Tenggara musim lalu selepas mencatat 10.18 saat dan dijangka akan menamatkan kemarau 14 tahun untuk merampas emas 100m dalam Sukan SEA, Ogos ini.
Iklan
Begitupun, bekas raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad, menasihatkan agar atlet negara menghormati Cray.
"Semua atlet pecut dan jurulatih diharapkan boleh merangka strategi dalam Sukan SEA nanti," katanya.
Nazmizan adalah pelari pecut terakhir negara meraih emas 100m dan 200m dalam Sukan SEA Vietnam 2003.
Selepas itu, negara ketandusan pelari pecut berkualiti sebelum muncul gandingan Khairul Hafiz dan Badrul Hisyam Abdul Manap di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor.
Untuk perbandingan, catatan terbaik Khairul Hafiz musim ini ialah 10.39 saat ketika menyertai kejohanan di Afrika Selatan, ketinggalan 0.10 saat di belakang Cray.
"Memang acara 400 meter berpagar adalah acara utamanya (Cray) tetapi saya difahamkan catatannya (dalam acara 100 meter) pada tahun ini adalah 10.29 saat dan ia lebih baik daripada Khairul dan atlet kita yang lain.
"Maka saya mengharapkan peluang dalam Terbuka Singapura ini, kita cuba mengejutkan pelari dari Asia Tenggara dengan catatan yang bagus," tambahnya.
Must-Watch Video