Pelumba berbasikal trek wanita, Negara Nurul Izzah Izzati Asri, enggan diselubungi perasaan kecewa walaupun gagal mara ke suku akhir dalam acara keirin wanita, sebentar tadi.

Ini menyaksikan pelumba berusia 20 tahun itu mengakhiri cabaran di kedudukan ke-3 dalam pusingan repechage selepas menduduki tempat ke-4 pada pusingan pertama.

Izzah membuat debut di pentas Sukan Olimpik dan akan meneruskan perjuangannya dalam acara pecut yang juga acara kedua atlet itu pada temasya Paris 2024.

Terdahulu, Izzah terpaksa mengerah kudrat memberikan tentangan kepada jaguh dunia termasuk pelumba dari Great Britain, Emma Finucane dan Lea Friedrich dari Jerman dalam pusingan pertama saringan kelima.

Dia kemudiannya terpaksa bersaing hebat bersama pelumba dari Kanada, Kelsey Mitchell dan pelumba Great Britain, Katy Marchant dalam pusingan repechage.

"Maklum balas yang saya dapat daripada jurulatih adalah saya agal lambat memberi tindak balas menyebabkan saya ditinggalkan di belakang. Tetapi selepas dapat kelajuan, saya dapat kehadapan tetapi malangnya mereka hanya memilih dua orang.

"Untuk acara Sprint kita akan buat yang terbaik kerana kami telah berlatih sebelum ini. Jadi saya perlu fokus kerana 'past is past'." Katanya kepada Nadi Arena.