Penerjun wanita negara, Nur Dhabitah Sabri, mahu membuktikan bahawa kehadirannya ke Sukan Olimpik Paris adalah kerana kemampuannya untuk memberikan cabaran kepada jaguh dunia lain.

Atlet berusia 25 tahun itu berasakan beberapa terjunan pada saar akhir umpama aksi 'comeback' sekali gus meneruskan cabaran ke peringkat akhir 3 meter papan anjal individu wanita selepas berjaya mengumpul 286.95 mata secara keseluruhannya.

Sebelum ke Paris, dia meletakkan sasaran untuk melangkah ke pusingan akhir dan berjaya mengulangi pencapaiannya dalam edisi Tokyo 2021 dan akan beraksi dalam peringkat akhir esok.

"Walaupun saya memenuhi kuota tetapi saya tetap mahu membuktikan kepada ramai pihak bahawa saya layak berada di Sukan Olimpik.

"Terjunan pertama sangat bagus, tetapi terjunan kedua juga agak bagus cuma kurang sedikit berbanding terjunan ketiga. Lagi dua terjunan adalah selepas jurulatih yang berikan kepercayaan untuk berikan saingan kembali.

"Saya berasa kecewa dengan terjunan ketiga tetapi saya bersyukur Tuhan hendak membantu saya. Jurulatih juga ada memberitahu bahawa perkara yang lepas sudah lepas, perlu pandang kehadapan sekarang.

"Sasaran saya adalah melangkah ke pusingan akhir, dalam tempoh menunggu itu latihan saya tidak begitu baik berbanding atlet lain yang sudah mengetahui lebih awal." Katanya kepada Nadi Arena.