Skip to main content

Sukan Lain

Paris 2024: Azeem Fahmi atur program agresif minggu depan

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

azeem-fahmi.jpg
Wakil peluang khas 100 meter negara, Azeem Fahmi, kekal dengan sasaran 9.95 saat selepas catatan itu gagal direalisasikan dalam usahanya untuk mendapatkan tiket merit ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Dengan keberadaan jurulatih peribadinya, Ken Harnden -- dalam temasya di Eropah itu yang bermula 26 Julai ini -- ia sedikit sebanyak membantu atlet 20 tahun itu sementara latihan yang lebih agresif bakal bermula minggu depan.

Tiada istilah hadir sebagai pelengkap jadual semata-mata, Azeem sebaliknya tidak teragak-agak sasaran mencapai 9.95s diteruskan atau sekurang-kurangnya rekod kebangsaan 10.09s perlu dipecah pada 2 Ogos ini. 

Dia yang bebas daripada sebarang kecederaan bertekad membina momentum terbaik. Beberapa kelemahan ketara sudah dikenal pasti sepanjang program singkat bersama Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert Ballard, itu selain pandangan daripada jurulatih peribadinya tersebut menerusi talian internet.

"Banyak perkara positif di sini. Dalam situasi begini, saya perlu percayakan prosesnya dan percaya terhadap kemampuan diri sendiri untuk melakukan yang lebih baik lagi.

"Lagipun kehadiran jurulatih melonjakkan lagi semangat saya," katanya yang ditemui di Stadium Mini MSN, Bukit Jalil, hari ini. 

Biarpun sulit tanpa jurulatih di sisi, apa pun Azeem lega apabila kembali ke pangkuan Harnden sebaik tiba di Paris kelak. 





Dia mengakui Harnden perlu membahagikan masanya dalam menguruskan lima atlet di bawah kendalian sepanjang temasya itu, lantas Azeem berlapang dada sekurang-kurangnya dia tidak berseorangan.

"Dia akan tetap berada di sana dan berkemungkinan bersama negara lain sebab rakan sepasukan saya (di peringkat universiti) terdiri daripada dua (pelari) dari Nigeria, Afrika Selatan dan Zimbabwe. 





"Kalau tambah saya dari Malaysia maka kami terdiri empat negara berbeza. Saya tidak pasti dia akan bersama pasukan mana tetapi saya 100 peratus yakin keberadaannya di sana.

"Keberadaannya untuk memastikan apa yang saya dah buat dekat sini dan apabila berada di sana, ia berhasil.

"Saya berasa lebih yakin dengan kehadirannya," katanya. 

Advertisement

Must Watch Video