Atlet angkat berata negara, Aniq Kasdan meletakkan sasaran untuk memburu pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris 2024.

Sasaran itu dibuat selepas prestasi terbaik yang ditunjukkan oleh Aniq sepanjang kempen kelayakan ke temasya sukan tersebut.

Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat, bagaimanapun menegaskan masih berbaki dua lagi kejohanan kelayakan sebelum pengesahan slot ke Sukan Olimpik bakal diputuskan April tahun hadapan.

Aniq melakar kejayaan sensasi dengan meraih dua pingat pada Kejohanan Angkat Berat Antarabangsa di Doha, Qatar, semalam.

Badang negara berusia 21 tahun itu cemerlang selepas berjaya merangkul pingat perak acara ‘clean & jerk’ kategori 61 kilogram (kg) serta pingat gangsa bagi acara keseluruhan.

Atlet kelahiran Johor itu melakukan angkatan 170kg bagi clean & jerk dan 126kg dalam snatch sekali gus merekodkan angkatan keseluruhan 296kg.

Wakil Korea Utara Pak Myong-jin meraih emas berganda selepas melakukan angkatan keseluruhan 305kg.

Kejayaan Aniq itu menyaksikan dia memperbaharui rekod kebangsaan 291kg miliknya sendiri semasa memenangi pingat gangsa pada Kejohanan Angkat Berat Dunia 2023 di Riyadh, Arab Saudi pada September lalu.