SUKAN ASIA 2018
Papan selaju: Pengalaman terbaik buat atlet muda negara
Sukan papan selaju membuat penampilan pertama dalam temasya sukan besar, namun di sebalik aksi lompatan dan gaya ekstrem yang memukau, tumpuan peminat di Kompleks Jakabaring adalah kepada atlet cilik, Ian Nuriman Amri, yang merupakan atlet termuda untuk kontinjen Malaysia yang bersaing dalam temasya ini.
Meskipun baru berusia 11 tahun, Ian tidak menampakkan kegugupan apabila bersaing dengan peserta yang jauh lebuh tua dan berpengalaman daripadanya.
Seramai 10 peserta dari enam negara berbeza bersaing dalam acara park seperti Korea Selatan, Jepun, Thailand, tuan rumah, Indonesia, dan Malaysia.
Iklan
Ian berjaya menampilkan persembahan memukau sepanjang tiga pusingan acara tersebut, namun keputusan masih tidak memihaknya untuk melayakkan diri ke pusingan akhir acara park, dengan melakar hanya 49 mata untuk menduduki tangga kesembilan.
Hanya lapan peserta terbaik yang layak beraksi di pentas final dan ia hanya berbeza 2.33 mata dengan peserta tempat kelapan, Xiang Xiaojun dari China.
"Saya tidak gentar beraksi dalam Sukan Asia kali ini kerana saya berlatih bersama atlet yang lebih berusia," katanya.
Ian seterusnya bergandingan dengan seorang lagi wakil negara, Yaziru Amiru Basyir, dalam acara street di sebelah petang. Namun, hujan lebat serta ribut yang melanda sekitar kawasan Palembang merencatkan jadual pertandingan sehingga ia ditunda sebanyak tiga kali sedikit-sebanyak mengganggu tumpuan Ian untuk beraksi dengan lebih baik.
"Sebab itu kami berusaha untuk mendapatkan tempat kelapan. Mengakhiri saingan di tempat kesembilan sudah cukup baik untuk saya."
Must-Watch Video