Penerjun negara, Datuk Pandelela Rinong, enggan memanjangkan isu tekanan yang memintanya agar bersara, sebaliknya dia tampil mencabar pelapis yang mampu mengambil posisinya.

Pandelela, 31, terkandas dalam acara 10 meter individu platform dan seirama dalam Kejohanan Dunia di Doha minggu lalu, namun dia menuntut saingan sihat sambil beranggapan pelapis ketika ini belum mampu menyainginya.

"Sekarang ini yang muda pun belum boleh saingi saya.

"Cuma apa yang saya boleh cakap, ada faktor lain yang mengganggu kami.

"Bagi kami, nak bersara boleh tetapi pelapis kena menang (ke atas) penerjun senior, baru ada peluang untuk beraksi di kejohanan luar negara," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pandelela merupakan atlet wanita pertama yang menyumbang pingat pertama Sukan Olimpik menerusi acara 10m platform individu di London pada 2012.