Skip to main content

Advertisement

Hoki

Oltmans tidak panik

roelant-oltmans.jpg
Tiada apa yang perlu dikesalkan ketua jurulatih skuad hoki negara, Roelant Oltmans, selepas Malaysia gagal ke final Piala Sultan Azlan Shah 2019 dan menyifatkannya sebagai sebahagian proses persiapan menghadapi Final Siri Hoki Dunia bulan depan untuk merebut tiket Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Kekalahan 1-2 kepada Korea Selatan mendedahkan kepincangan jentera serangan dan pukulan sudut penalti Malaysia.

Hanya satu jaringan terhasil daripada 11 pukulan sudut penalti yang dihadiahkan -- mencerminkan betapa banyak lagi kelemahan yang diperbaiki menjelang misi di Bukit Jalil, bulan depan.

Ia memang mengecewakan untuk menyaksikan skuad negara terlepas peluang terbaik bagi menjulang Piala Sultan Azlan Shah 2019, namun pemain perlu diberi peluang untuk menyelesaikan misi mereka.

"Sudah tentu kami ingin melangkah ke perlawanan akhir dan sekali lagi saya tegaskan, kalau kami tonjolkan aksi seperti ini, kami begitu hampir untuk ke final. 

"Adakala mereka tidak meraih keputusan yang berhak dilakar. Malangnya kami sepatutnya menjaringkan banyak gol daripada pukulan sudut penalti yang dimenangi sementara melepaskan dua gol mudah.

"Ia sesuatu yang perlu diperbaiki dan adakah saya bersedih kerana tidak layak ke final Piala Sultan Azlan Shah? Tidak kerana saya pasti lebih sedih kalau gagal melepasi Final Siri Hoki Dunia," katanya. 

Kekalahan di Ipoh, Perak, malam tadi memusnahkan rekod tanpa kalah Malaysia kepada Korea sejak 2015.

Korea akan berdepan India dalam final, seterusnya mengulangi edisi 2010 yang menyaksikan mereka dinobatkan juara bersama ekoran cuaca buruk.

"Saya mengesan ramai pemain Malaysia mula keletihan.

"Kami merancang waktu yang tepat untuk membuat tekanan secara berpasukan dan individu, pemain Malaysia tidak dapat menanganinya sehingga kerap membuat kesilapan," kata jurulatih Korea, Shin Seok Kyo.  

Advertisement

Must Watch Video