Malaysia mempamerkan aksi terburuk selepas gagal memenangi sebarang pingat dalam acara olahraga Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 yang melabuhkan tirainya di Stadium Utama Gelora Bung Karno, malam ini.
Lebih mengecewakan, penyertaan kuartet 4x100m lelaki negara yang dibarisi raja pecut kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan, Jonathan Nyepa, Muhammad Zulfiqar Ismail dan Nixson Kennedy dalam aksi final malam ini, dibatalkan kerana melanggar peraturan Persekutuan Olahraga Antarabangsa kod 170.7, iaitu membuat pertukaran baton di luar kawasan yang dibenarkan.
"Kami meminta maaf kerana gagal mengakhiri saingan. Kami telah cuba yang terbaik tetapi rezeki tidak menyebelahi kami," kata Khairul Hafiz.
"Saya meminta maaf kerana kesilapan saya memulakan larian terlalu awal. Ini merupakan pengajaran berguna buat kami semua," kata Jonathan.
Advertisement
Acara berkenaan dimenangi oleh kuartet Jepun dengan catatan 38.16 saat, manakala perak dan gangsa, masing-masing diraih oleh kuartet Indonesia dan China selepas melakar catatan masa 38.77s dan 38.89s.
Tiada rekod kebangsaan yang berjaya diperbaharui oleh beberapa atlet olahraga negara yang berada di bawah Program Podium pada edisi ke-18 temasya sukan berkenaan, termasuk Nauraj Singh Randhawa dalam acara lompat tinggi, Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang) dan Muhammad Irfan Shamsuddin dalam acara lempar cakera.
Keputusan hambar itu menyamai pencapaian edisi 2010 di Guangzhou, China dan 2014 di Incheon, Korea Selatan yang menyaksikan skuad negara gagal meraih sebarang pingat.
Kali terakhir Malaysia meraih pingat adalah pada edisi 2006 di Doha, Qatar menerusi kutipan satu perak oleh Roslinda Samsu dalam acara lompat bergalah wanita dan satu gangsa oleh Noraseela Mohd Khalid dalam acara 400m lari berhalangan wanita.
-- BERNAMA