Skip to main content

Sukan SEA

Olahraga: Khairul Hafiz terpantas di Asia Tenggara

whatsapp-image-2017-08-22-at-21-55-00.jpeg
Pelari pecut negara, Khairul Hafiz Jantan, kini memegang gelaran sebagai raja pecut Asia Tenggara yang baru selepas memenangi acara 100 meter Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, sebentar tadi.

Disaksikan ribuan penonton di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Khairul Hafiz menamatkan kemarau 14 tahun emas buat negara dalam acara ini selepas kali terakhir dimenangi oleh Nazmizan Muhammad dalam Sukan SEA Hanoi 2003.

Dengan kejayaannya itu, Khairul Hafiz meletakkan namanya sebaris dengan pemenang emas negara dalam acara tumpuan itu, termasuk Tan Sri Dr M. Jegathesan (1965), G. Rajalingam (1967) dan Nazmizan.

Atlet kelahiran Melaka berusia 19 tahun itu melakukan catatan 10.38 saat bagi mengalahkan juara bertahan, Eric Shauwn Cray dari Filipina, yang sekadar berpuas hati di tempat kedua dengan masa 10.43 saat. Pelari Thailand, Kritsada Nasuwun (10.43s) di tempat ketiga.

"Saya amat gembira kerana berjaya meraih pingat emas dalam penampilan pertama saya di Sukan SEA.

"Saya tidak pernah menjangkakakn kejayaan ini. Ini semua ketentuan Allah s.w.t. Saya hanya berlatih dengan bersungguh-sungguh dan cuba berlari sebaik mungkin," jelas Khairul yang ditemu bual Nadi Arena.

Seorang lagi wakil negara, Jonathan Nyepa, menamatkan saingan di tempat kelima dengan catatan masa 10.66s. Sementara itu, pelari pecut wanita negara, Zaidatul Husniah Zulkifli, melakukan catatan 11.74s untuk meraih pingat perak dalam acara 100m wanita.

Emas serta gelaran ratu pecut Asia Tenggara menjadi milik pelari Vietnam, Le Tu Chinh, dengan kepantasan 11.56s dan gangsa dimenangi oleh atlet Singapura, P. Veronica Shanti (11.76s). Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.

Kredit foto:
Media MASOC

Advertisement

Must Watch Video