Pelumba berbasikal lebuh raya negara, Nur Aisyah Zubir, berharap penundaan perlumbaan Le Tour de Femina (LTdF) tidak akan menjejaskan persiapannya untuk ke Sukan SEA Filipina, bulan depan.
Perlumbaan jelajah berbasikal wanita pertama di Malaysia itu membawa pelbagai kepentingan buatnya menjelang temasya berkenaan.
"Banyak kepentingannya kerana dalam setiap perlumbaan, banyak perkara baru yang boleh dipelajari.
"Saya boleh tahu di mana kekuatan dan kelemahan saya, juga lawan yang akan dihadapi nanti.
"Dengan itu, saya dapat meningkatkan prestasi saya," katanya.
Diletakkan sebagai harapan untuk meraih pingat di Filipina, pemenang tujuh pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 itu tidak tertekan dan menjadikannya sebagai suntikan semangat untuk merealisasikan hasrat berkenaan.
Pelumba berusia 22 tahun itu akan menyertai Perlumbaan Antarabangsa Nanxijiang di China dan Perlumbaan Kebudayaan Indonesia sebagai persiapan terakhir sebelum ke Filipina.
"Saya membawa harapan rakyat Malaysia, jadi saya akan buat yang terbaik," tambahnya.
Penulis Jemputan
Wed Oct 02 2019