Skip to main content

Bola Jaring

NSL: An Najwa sedia beraksi kembali

an-najwa-azizan-jehor-jewels.jpg
Pemain sensasi Johor Jewels, An Najwa Azizan, bersedia untuk diturunkan dalam saingan minggu ketiga Netball Super League (NSL) 2023 hujung minggu ini selepas terjatuh ketika beraksi menentang Terengganu Marvels minggu lalu.

Menurut penolong jurulatih Jewels, Fazira Mesnan, goal shooter (GS) itu cuma mengalami kecederaan ringan dan akan menjalani latihan seperti biasa.

"Alhamdulillah tiada yang serius. An Najwa sudah mendapatkan rawatan daripada fisioterapi. Dia cuma rasa senak mungkin kesan akibat terjatuh itu.

"An Najwa juga bersedia untuk beraksi pada Sabtu dan Ahad ini," katanya. 

Pemain berusia 26 tahun itu terjatuh ketika cuba menyelamatkan bola dari keluar gelanggang ketika aksi berlangsung dalam suku keempat.

Ketika insiden itu, dia cuba berpaut pada tiang gol tetapi gagal sebelum terjatuh di bahagian kanan badan.

Sejurus kemudian dia bangun dan kembali meneruskan permainan.

Dalam aksi itu, Jewels menewaskan Marvels 57-40 untuk melakar rekod bersih menang kesemua lima perlawanan dan mengumpulkan 15 mata.

-- Sinar Harian
 

Advertisement

Must Watch Video