Kemenangan itu bermakna Johor Jewels berjaya mempertahankan kejuaraan dan juga memgekalkan rekod tanpa kalah serta menjadi satu pencapaian yang gemilang buat skuad bimbingan Tracey Robinson.
Lebih manis, kejayaan tersebut turut disaksikan Yang Mulia Che Puan Besar Khaleeda Bustaman, Penaung Diraja Bolajaring Johor, di Stadium Juara, Bukit Kiara yang padat dengan penyokong kedua-dua pasukan.
Sesuai dengan gelaran 'final impian' NSL 2023, seawal suku pertama KL Wildcats mampu buat Johor tercungap menerusi pendahuluan, 13-10.
Aksi semakin panas memasuki suku kedua dengan KL Wildcats garang menekan Johor Jewels, tetapi bukan mudah Jewels untuk mengalah.
Empat kali kedudukan mata terikat, dan selepas 17-17 Jewels bangkit mendahului suku kedua, 26-21.
KL Wildcats rupanya tidak mudah mengalah, mereka berjaya merapatkan jurang mata dan terus mengekori rapat.
Suku ketiga dan keempat seolah perlawanan tanpa penghujung -- saling menyerang tetapi akhirnya Wildcats rebah dibenam Johor Jewels.
Dalam aksi penentuan tempat ketiga yang berlangsung lebih awal menyaksikan Perak Phoenix berjaya menewaskan Putrajaya Dynamites 69-67.