KL Wildcats memastikan kemenangan ke atas Selangor Angels bagi meraih tiket ke final Netball Super League, sebentar tadi.

Saingan yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Juara menyaksikan antara dua daripada tiga pasukan pilihan saingan NSL 2021 berentap bagi merebut slot ke final.

Kekalahan Selangor kepada Johor Jewels dalam aksi peringkat Kumpulan B menyaksikan mereka terpaksa menamatkan saingan di tempat kedua dan bertemu juara Kumpulan A, KL.

Aksi yang seimbang dalam suku pertama apabila kedua-dua pasukan saling mengutip mata hingga ia berakhir 16-10, namun permainan yang lebih kemas dipamerkan KL dalam suku kedua membenarkan mereka selesa mendahului 30-18 hingga tamat separuh masa pertama.

Permainan kurang menjadi serta hantaran yang gagal disempurnakan Selangor membantutkan peluang mereka untuk merapatkan jurang dan ia digunakan sebaik mungkin oleh KL apabila saling mengutip mata menerusi GS dan GA KL, Puteri Intan Balqis Ahmad Dzulkefli dan Nordiyanah NoorSabadinee untuk cemerlang mendahului 46-27 dalam suku ketiga.

Ternyata malam yang mengecewakan buat An Najwa Azizan dan Selangor apabila tekanan dipamerkan KL gagal diserap hingga mereka terpaksa akur dengan kekalahan 65-33.