Skip to main content

Advertisement

Sukan Lain

Nicol belum tutup pintu latih skuad negara

nicol-david.jpg
Pintu Datuk Nicol David sentiasa terbuka buat skuasy Malaysia ketika kemahuan dia menjadi jurulatih skuad kebangsaan pasca persaraan pada Jun ini menjadi tanda tanya.

Pengalaman Nicol sebagai atlet terulung sepanjang zaman skuasy dunia memadai untuk menjadi inspirasi buat mana-mana pemain.

Bayangkan bintang masa depan negara seperti S. Sivasangari mahupun Aifa Azman memiliki sentuhan Nicol sebagai jurulatih mereka.

Adakah aspirasi peminat sukan tanah air ini sesuatu yang difikirkan serius oleh Nicol dalam pengembaraannya di luar gelanggang kompetitif sebagai pemain?

"Berkenaan kejurulatihan, saya mungkin cenderung untuk memberi tumpuan terhadap yayasan sendiri. 

"Untuk melatih skuad atau atlet kebangsaan, saya berasa ia menjurus kepada kerjaya sepenuh masa. Apapun, saya ingin menyumbang kepada pemain dan jurulatih. 

"Sudah tentu saya sentiasa bersedia untuk menawarkan bantuan," katanya. 

Setidak-tidaknya Nicol mahu terus mendampingi skuasy di pentas global menerusi inisiatif tersendiri.

Beberapa perkongsian peribadi Nicol akan dikongsi bersama komuniti skuasy dunia dengan harapan dapat mengangkat sukan raket ini sehingga berada di pentas Sukan Olimpik pada satu hari nanti.

"Secara peribadinya, kalau kami terus membangunkan sukan ini, pada akhirnya skuasy pasti akan disenaraikan.

"Tetapi skuasy tidak dapat memenuhi kriteria yang ditetapkan Sukan Olimpik oleh kerana ia sering berubah-ubah.

"Saya harap boleh menyumbang sesuatu, terutama di peringkat Jelajah PSA Wanita, ke tahap lebih tinggi," kata atlet dari Pulau Pinang itu. 

Advertisement

Must Watch Video