SUKAN LAIN
An Najwa manfaat pengalaman di Australia
Pemain bola jaring negara, An Najwa Azizan, akhirnya dapat melepaskan rindu untuk merasai gelaran juara selepas sembilan bulan berkelana di Australia.
Kejayaan itu tiba ketika dia membantu skuad negara menjuarai Kejohanan Bola Jaring Empat Negara di Hong Kong semalam dengan pemain itu turut dinobat sebagai pemain terbaik kejohanan itu.
Bagi pemain dengan gelaran "Beauty Killer" itu, pengalamannya berkelana selama sembilan bulan di Australia bagi menyertai Kelab Bola Jaring Greater Western Sydney jelas membantunya dalam meraih anugerah itu, namun menegaskan ia terhasil daripada kerjasama sepasukan.
Iklan
"Bola jaring merupakan sukan berpasukan.
"Tanpa dorongan jurulatih dan rakan sepasukan, mustahil untuk saya memperoleh anugerah itu.
"Jika trofi pemain terbaik itu boleh saya pecah-pecahkan, saya akan memberikan cebisannya kepada seluruh pasukan ini," katanya.
Sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA Filipina, November depan, skuad bola jaring negara akan mengadakan sesi latihan di Sri Lanka bulan depan.
Bagi An Najwa, sesi latihan selama lima hari itu merupakan peluang terbaik untuk menguji kemampuan sebenar pasukannya.
"Ia peluang terbaik untuk menguji kemampuan dan melihat tahap sebenar kami.
"Ia pasti mendatangkan kebaikan buat skuad negara," katanya.
Must-Watch Video