Skip to main content

Sukan Lain

MSSM Ragbi 2025: Selangkah untuk Selangor buru juara berganda

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

selangor-b12.jpg
Hadir selaku penyandang juara, skuad ragbi bawah 12 tahun Majlis Sukan Sekolah Selangor(MSS Selangor) menepati ramalan untuk mara ke penentuan akhir Kejohanan Ragbi Majlis Sukan Sekolah Malaysia(MSSM 2025) edisi kali ini yang akan melabuhkan tirai pada Khamis ini.

Terdahulu dalam perlawanan pembukaan tirai musim ini, MSS Selangor telah membelasah MSS Pahang berkeputusan 91 berbalas 12 menjadikan keputusan perlawanan ini mencatatkan kutipan mata terbesar dalam setiap aksi perlawanan peringkat kumpulan yang telah ditempuhi tanpa sebarang kekalahan.

Pada saingan peringkat separuh akhir, MSS Selangor sekali lagi layak untuk mara ke penentuan akhir setelah menewaskan MSS Perak yang berkeputusan 65 berbalas 15 yang berlangsung hari ini di padang Majlis Bandaraya Seremban, Seremban.

Walaupun sedemikian, tekanan tetap kian menebal setelah sekali lagi layak untuk mara ke penentuan akhir namun ketua jurulatih Saharudin Mohd Hassim tetap yakin anak didiknya mampu untuk menyerap tekanan sehingga wisel penamat terakhir nanti.

"Sebenarnya, hanya seorang sahaja yang pernah bermain pada edisi lalu untuk bersama pasukan bagi edisi kali ini di mana selebihnya semuanya muka-muka baru yang dicungkil dari sekolah-sekolah seluruh negeri Selangor. Jadi untuk perlawanan akhir ini nanti merupakan taruhan besar buat seluruh pasukan untuk memburu kejuaraan berganda.

"Kedah sememangnya di antara pasukan pilihan bagi edisi kali ini di mana kita boleh lihat momentum pasukan itu juga berjaya mengalahkan lawan dengan mengutip jumlah mata yang besar dalam setiap perlawanan. Saya menjangkakan satu perlawanan sengit untuk kami mempertahankan kejuaraan ini," ujar ketua jurulatih Saharudin Mohd Hassim yang juga merupakan guru besar di Sekolah Kebangsaan Seri Utama, Sabak Bernam.

Manakala skuad bawah 18 tahun MSS Selangor terpaksa akur untuk melepaskan kejuaraan edisi kali ini setelah tewas kepada finalis edisi lalu MSS Kedah berkeputusan 25-17 dalam penentuan separuh akhir lewat petang ini.

Penentuan akhir MSSM 2025 bagi kategori bawah 12 tahun melibatkan pasukan MSS Selangor bertemu MSS Kedah dijadualkan untuk berlangsung pada jam 9.30 pagi Khamis ini bertempat di padang Majlis Bandaraya Seremban. Manakala bagi penentuan akhir bawah 18 tahun di padang Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar, Seremban juga pada jam 3 petang hari yang sama.
 

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video