Skip to main content

Sepak Takraw

MSSM B-12: Kelantan ke separuh akhir

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

takraw-kelantan-b12_1.jpg
Kelantan terus mempamerkan aksi cemerlang apabila menumpaskan Melaka 2-1 dalam suku akhir kategori B-12 Kejohanan Sepak Takraw Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Kompleks Sukan Paroi, Negeri Sembilan, sebentar tadi.

Jurulatih Kelantan, Zairullah Yusuf, berpuas hati dengan persembahan anak buahnya itu sambil menyifatkan faktor ketenangan membawa mereka ke separuh akhir.

"Seperti diduga, Melaka memberikan saingan sengit, terutama dalam regu B dan kami pula banyak membuat kesilapan mudah.

"Namun, selepas mendapatkan rentak dan menang dalam set pertama regu C, pemain saya begitu tenang mengutip mata demi mata.

"Fokus kami kini kepada pertemuan separuh akhir dengan pasukan pilihan, Selangor, petang ini," katanya.

Dalam aksi sengit itu, Kelantan, yang menurunkan tekong, Khairul Faiz Nor Azhar, Mohd Afiq Firdaus Faisal dan Mohd Nor Aiman, mengatasi regu Melaka A 23-21, 17-21, 21-19 dalam masa sejam.

Bagaimanapun, regu B Kelantan yang diwakili Mohd Syahman Mohd Samri, Mohd Irfan Mahazan dan Iqbal Haikal Sidik gagal menyerap tekanan apabila tumpas 1-2 (21-16, 19-21, 9-21)  kepada regu B Melaka.

Kelantan, bagaimanapun, memastikan kemaraan ke separuh akhir apabila regu C mereka yang diwakili Mohd Danish Al-Hassany Mohd Khairuddin, Abid Mahfuz Rozaimi dan Mohamad Zulfaiz Azeme mudah menumpaskan lawan 2-0 (21-19, 21-15) dalam masa 40 minit.

Advertisement

Must Watch Video