Skip to main content

Advertisement

Sukan Lain

MSN sahkan Pandelela, Dhabitah selesai tandatangan kontrak

dhabitah-lela.jpg
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, mengesahkan penerjun kebangsaan, Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri, sudah menandatangani kontrak Program Podium walaupun mereka atlet paling lewat berbuat demikian.

Tindakan Pandelela dan Dhabitah menyaksikan seramai 503 atlet sudah mengikat kontrak baru Program Podium.

Mereka atlet paling lewat menyertai program berkenaan kerana mahu meneliti terma kontrak, sekali gus memaksa MSN menangguhkan pembayaran elaun sejak beberapa bulan lalu.

Tindakan itu juga ada kaitan dengan desakan beberapa pihak yang mahu kedua-dua atlet itu segera menandatangani kontrak kerana mereka menerima banyak bantuan MSN sejak bergelar atlet negara.

"Kami akan proses segala kelebihan yang mereka patut dapat. Secara dasarnya mereka setuju tetapi mahu meneliti kontrak. Elaun mereka kini tertunggak tetapi sumbangan makanan serta tempat tinggal telah diterima," kata Ahmad Shapawi.

Antara yang sudah menandatangani kontrak lebih awal ialah jaguh perseorangan badminton, Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol Ann David (skuasy) dan Azizulhasni Awang (basikal trek).

Jawatankuasa Penilaian akan bersidang pada Jun depan bagi menentukan adakah 503 atlet tersebut patut kekal atau digugurkan, bergantung kepada prestasi mereka.

"Mungkin akan ada pertambahan sekiranya wujud persatuan yang memberi cadangan ketika mesyuarat. Kebiasaannya jumlah atlet akan bertambah, terutama apabila melibatkan saingan utama seperti Sukan SEA," tambahnya.

Sementara itu, jurulatih terjun negara, Christian Brooker, menerima dua berita gembira apabila bukan sahaja isu kontrak anak buahnya selesai, malah bekas juara dunia, Cheong Jun Hoong, kembali menjalani sesi latihan pertama.

Situasi itu pasti memberi lebih banyak pilihan untuk Brooker membentuk gandingan terbaik acara 10 meter platform terjun seirama membabitkan Pandelela, Dhabitah, Leong Mun Yee dan Jun Hoong.

"Setiap atlet berhak untuk berbincang mengenai apa sahaja apabila bercakap tentang kontrak. Atlet terkenal seperti Lionel Messi dan Lebron James juga berbincang mengenai kontrak mereka," kata Brooker.

Bagaimanapun, Jun Hoong perlu mengambil lebih banyak masa untuk menyertai kejohanan pertama selepas pulih daripada pembedahan lutut.

"Saya baru pulang dan semua perkara perlu dimulakan dari awal. Segalanya bergantung kepada keadaan saya, mungkin hujung tahun saya akan kembali," ujar Jun Hoong.

Advertisement

Must Watch Video