Skip to main content

Futsal

MPFL: Sembilan pemain, dua pegawai PDRM positif COVID-19

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

pdrm-futsal.jpg
Dua perlawanan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) melibatkan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terpaksa ditunda selepas sembilan pemain dan dua orang pegawai pasukan itu positif COVID-19.

PDRM sepatutnya bertemu Pulau Pinang hari ini dan menentang Perak malam esok tetapi perlawanan itu tidak dapat dilaksanakan berikutan situasi terkini yang melanda mereka.

Pengurus pasukan, Zulhilmi Razali, mengesahkan perkara itu sambil berkata pemain-pemain berkenaan berada dalam keadaan baik dan akan dapat kembali diturunkan dalam saingan minggu depan.

"Sehari selepas perlawanan menentang Selangor minggu lalu, seorang pemain kami berasa tidak sihat, jadi kami terus menghantarnya untuk membuat ujian saringan dan sewaktu ujian itu, dia memang sudah positif," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Muiz Aziz.

"Jadi, kami tidak menunggu lama dan meminta pemain lain turut melakukan ujian dan keesokannya, ia semakin bertambah dan secara keseluruhan ketika ini, sudah 11 orang positif dan sembilan orang kontak rapat.

"Kami terus memaklumkan kepada FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) mengenai keadaan pasukan kami dan mereka meminta kami menghantar surat permohonan untuk menangguhkan perlawanan buat seketika.

"FAM sudah membalas surat itu dan kami tidak perlu melakukan rayuan kerana perlawanan itu akan ditunda ke satu tarikh yang lain," katanya.

Advertisement

Must Watch Video