Skip to main content

Permotoran

MotoGP Malaysia: Damok buru podium

syarifuddin-azman-damok.jpg
Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menjadi pelantar buat pelumba negara, Syarifuddin Azman, untuk memastikan kariernya kekal di pentas Kejuaraan Motorsikal Dunia (MotoGP). 

'Damok' meraih tiket peluang khas untuk beraksi dalam kategori Moto3 MotoGP Malaysia pada 21 hingga 23 Oktober depan.

Beraksi di laman sendiri tambahan pula berlumba bersama pasukan yang sama, SIC Racing, pelumba berusia 20 tahun itu menyasar berada di podium untuk menebus kekecewaan lalu apabila ini merupakan penampilan kelimanya menerusi tiket peluang khas.

"Saya akan gunakan jentera yang digunakan dalam GP Jerman. Saya bawa semua pasukan semua saya di Eropah datang ke Malaysia. 

"Saya gembira dengan mereka. Mereka dah macam keluarga saya sendiri dan saya amat serasi dengan mereka. 

"Saya yakin dengan mereka dan yakin dengan diri sendiri.





"Saya perlu bersedia sebab bulan 10 kemungkinan cuaca hujan.

"Saya perlu sediakan mental dan fizikal untuk lebih baik lagi. 

"Saya harap dekat Sepang nanti penuh sokongan daripada rakyat Malaysia," katanya -- yang menduduki tangga ketiga dalam Kejuaraan Dunia GP Remaja 2022 tatkala berbaki dua pusingan -- dalam satu majlis penajaan di Sepang, hari ini. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Azhan Shafriman Hanif, berkongsi penjualan tiket yang makin laris.

Kira-kira 8,000 peminat dari Indonesia dijangka hadir memeriahkan saingan MotoGP Malaysia musim ini bagi menyaksikan perlumbaan kedua terakhir dalam kalendar 2022 sekali gus menjadi venue yang akan menobatkan juara dunia di hujung musim kelak. 

"Saya baru pulang dari Jakarta dan Bandung bagi tujuan promosi dengan Tourism Malaysia. 

"Ramai yang berminat untuk datang.  

"Kami nampak ada peningkatan daripada segi penjualan tiket," katanya pula.

Kredit imej: ZK Racing
 

Advertisement

Must Watch Video