MOTOGP
MotoGP: Kuasa pecutan julang Dovizioso
Andrea Dovizioso memulakan musim 2019 dalam Kejohanan Motosikal Dunia (MotoGP) dengan kemenangan dalam Grand Prix (GP) Qatar selepas mendapat tentangan sengit daripada juara bertahan, Marc Marquez.
Bermula di petak kedua, Dovizioso yang menunggang jentera Ducati menjarakkan diri dengan bergaya dan memintas penunggang di depannya, Maverick Vinales, untuk mendahului perlumbaan ketika selekoh pertama.
Marquez juga bermula dengan baik dan permulaan sensasi mereka itu menyaksikan kedua-duanya saling mengejar rapat di barisan hadapan.
Iklan
Marquez mengambil selekoh dengan berani untuk mendahului Dovizioso, namun penunggang dari Itali berkenaan memecut laju di laluan lurus untuk menamatkan perlumbaan di tempat pertama -- seperti yang dilakukannya 12 bulan lalu di Qatar.
Vinales pula membuat permulaan yang menyedihkan apabila tercicir di kedudukan keenam manakala penunggang Suzuki, Alex Rins dan Joan Mir, mempamerkan aksi yang sangat mengagumkan.
Jack Miller turut membuat permulaan yang mantap, namun aksinya digugat masalah tempat duduk yang menjadikan kedudukannya semakin tercicir sebelum terpaksa menarik diri.
Tatkala Miller bekerja keras, pasangan Suzuki berkenaan saling mencabar kedudukan Dovizioso dan Marquez yang menyaksikan Rins sempat memberi saingan sengit dalam separuh perlumbaan.
Malah, Rins berada dalam kelompok pertama saingan, namun kelajuan jenteranya di laluan lurus terbatas sehingga menyempitkan impiannya mengintai kemenangan sulung dalam kelas utama.
Situasi itu memberi kesempatan buat Dovizioso dan Marquez untuk mendahului perlumbaan meskipun Danilo Petrucci dan Cal Crutchlow mula menghambat mereka untuk mencerahkan peluang menaiki podium.
Kesilapan Rins dalam tiga pusingan terakhir mengakhiri peluangnya sebelum pelumba Sepanyol itu membenarkan Crutchlow memintasnya untuk merebut tempat ketiga.
Marquez mendahului perlumbaan itu sepanjang 20 pusingan tetapi dalam pusingan terakhir, Dovizioso menggunakan kuasa pecutan jenteranya untuk merebut kembali kedudukan utama yang mencetuskan lebih banyak drama.
Entah bagaimana Marquez mengesan ruang di selekoh terakhir dan walaupun dia dapat menggunakan kesempatan itu, ternyata Dovizioso lebih bijak daripadanya apabila memecut laju untuk menjamin kemenangan yang mendebarkan.
Sementara itu, Hafizh Syahrin Abdullah yang bersaing dalam kelas utama manakala Khairul Idham Pawi dalam kancah Moto2, gagal memungut mata apabila masing-masing mengakhiri perlumbaan di tempat ke-20 dan 17.
Keputusan penuh:
1. Andrea Dovizioso (Ducati)
2. Marc Marquez (Repsol Honda)
3. Cal Crutchlow (LCR Honda)
4. Alex Rins (Suzuki Ecstar)
5. Valentino Rossi (Monster Energy Yamaha)
6. Danilo Petrucci (Ducati)
7. Maverick Vinales (Monster Energy Yamaha)
8. Joan Mir (Suzuki Ecstar)
9. Takaaki Nakagami (LCR Honda)
10. Aleix Espargaro (Aprilia Racing Team Gresini)
11. Franco Morbidelli (Petronas Yamaha)
12. Pol Espargaro (Red Bull KTM Factory Racing)
13. Jorge Lorenzo (Repsol Honda)
14. Andrea Iannone (Aprilia Racing Team Gresini)
15. Johann Zarco (Red Bull KTM Factory Racing)
Must-Watch Video