Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Nazifuddin Najib, mempertimbangkan usaha untuk mempercepatkan lima hari lebih awal penerbangan buat kem berbasikal trek negara ke Hangzhou bagi menghadapi Sukan Asia 2023.
Malah penginapan luar selama dua hari juga telah dijamin Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memenuhi permintaan ketua jurulatih berbasikal negara, John Beasley.
Sudah pasti kesuntukan masa dan kelesuan atlet negara jadi keutamaan, Nazifuddin mendedahkan keputusan rasmi akan diperolehi minggu depan dengan jangkaan tarikh 19 atau 20 haribulan buat barisan atlet negara berlepas ke Hangzhou, China.
"Kami sedang mempertimbangkan permintaan khas buat skuad berbasikal negara untuk tiba lima hari awal ke Hangzhou bagi persiapan mereka bagi menghadapi Sukan Asia," kata Nazifuddin menerusi Nadi Arena.
Bagi pelumba berbasikal trek elit negara, Muhammad Fadhil Zonis, mengidamkan tempat pertama menjelang saingan pusingan 6 Siri Trek Yayasan Sime Darby yang bermula esok di Velodrom Nilai.
Angan-angan itu bagaimanapun tidak semudah realiti apabila perlu mengatasi rakan sepasukannya, tidak lain tidak bukan, Shah Firdaus Sahrom yang juga menyasarkan keputusan sama.
Siri trek YSD merupakan salah satu platform persiapan bagi Fadhil sebelum menuju ke Sukan Asia Hangzhou bulan hadapan.
Fadhil akan beraksi dalam keirin dan pecut di mana ia juga menguji daya ketahanannya.
"Ia platfom buat saya mendapatkan strategi dan tetapan basikal yang baru sebelum menghadapi Sukan Asia nanti," kata Fadhil.
Ammar Hakim
Fri Aug 18 2023