Skip to main content

Sukan Lain

MESA jamin isu latihan pusat akan diselesaikan

skateboard.jpg
Persatuan Sukan Ekstrem Malaysia (MESA) memberi jaminan bahawa isu latihan pusat akan segera diselesaikan setelah timbul kebimbangan mengenai kesuntukan tempoh berlatih memandangkan Sukan Asia Jakarta/Palembang hanya berbaki lebih kurang empat bulan lagi.

Berbeza dengan disiplin sukan yang lain, papan selaju sebelum ini lebih bersifat satu aktiviti rekreasi dan juga hobi.

Ia menjadi salah satu faktor untuk pihak MESA dan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) menyelaraskan satu modul latihan lengkap.

Bagaimanapun, Presiden MESA, Tan Sri Darshan Singh Gill, menegaskan menjelang bulan depan, barisan atlet papan selaju negara sudah mampu untuk mengikuti modul latihan pusat bagi menghadapi Sukan Asia 2018, 18 Ogos hingga 2 September depan.

"Secara dasarnya, venue yang terhad menjadi halangan. Latihan pusat yang bakal dijalankan harus seiring dengan MSN dan ISN," katanya.

Selain mempromosikan acara Jelajah Angka yang dilihat sebagai pendedahan terbaik barisan atlet papan selaju negara menghadapi Sukan Asia, MESA turut menamakan Mohd Zamri Ramli sebagai ketua jurulatih dan Johari Fitry yang dikenali sebagai "Joe Ipoh" akan membimbing atlet Malaysia dalam temasya itu nanti.

Jelajah Angka 2018 akan menampilkan pemain papan selaju terkenal dunia seperti Arto Saari, Jack Curtin dan Jua Margie Didal.

"Saya sedang berusaha bersama MSN. Kepakaran daripada segi latihan fizikal dan kecergasan akan dilakukan di Bukit Jalil manakala untuk latihan teknikal, kami akan terus gilap sebelum menghadapi Sukan Asia," kata Zamri.

Advertisement

Must Watch Video