Skip to main content

Sukan Asia

Menembak: Tiada pilih kasih

menembak22.jpg
"Jurulatih lebih tahu menilai," itu penjelasan jurulatih menembak rifle negara, Sabki Mohd Din, yang menegaskan pemilihan atlet ke Sukan Asia Indonesia telus dan tidak bersifat berat sebelah.

Sabki tetap dengan pendirian bahawa pemilihan dua penembak, Mohd Lutfi Othman dan Nur Izazi Rosli ke Sukan Asia adalah tepat walaupun kurang berpengalaman berbanding Nur Suryani Mohamed Taibi dan Ezuan Nasir Khan yang tidak berpuas hati ekoran diketepikan ke Jakarta/Palembang. 

Jelasnya, penilaian atlet turut melibatkan prestasi semasa, khususnya dalam latihan, dan menyifatkan pencapaian tidak konsisten Suryani dan Ezuan dalam Sukan Komanwel turut menjadi punca mereka digugurkan. 

Bagi Sabki, tidak adil untuk mereka membandingkan pencapaian dalam Sukan Asia edisi lalu tatkala Lutfi dan Izazi kian meningkat untuk diberi kepercayaan beraksi dalam Sukan Asia buat kali pertama.

"Saya selaku jurulatih telah berbincang bersama barisan staf kejurulatihan yang telah menilai sebaik mungkin bahawa atlet yang dipilih beraksi dalam Sukan Asia telah menampilkan peningkatan," kata Sabki lagi.

Terdahulu, Suryani yang digandingkan bersama Ezuan bagi acara campuran 10m air rifle dalam Kejohanan Trofi Chia Woh hari ini, meraih pingat emas selepas membidik mata tertinggi, 465.9 mata, yang merupakan rekod kejohanan terbaru untuk acara ini. 

"Saya memberikan fokus dan kami berjaya menampilkan persembahan terbaik dengan meraih pingat emas," kata Ezuan.

"Agak terkilan kerana diketepikan tetapi kami perlu terus membuktikan kebolehan setiap kali dalam kejohanan," kata Suryani.

Advertisement

Must Watch Video