Skip to main content

Sukan Asia

Menembak: Bedah siasat kegagalan di Palembang

menembak.jpg
Prestasi buruk skuad menembak dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang berupaya memberi kesan kepada kejayaan atau kegagalan kontinjen Malaysia dalam edisi kali ini. 

Sukan ini bukan sahaja gagal menyumbang pingat, malah tidak ada seorang wakil pun yang layak ke final.

Berdasarkan senarai penembak yang bersaing di Palembang, Malaysia menyertai 10 acara membabitkan saingan pistol rifle dan shotgun.

Empat penembak lelaki dan wanita yang diketuai wakil berpengalaman seperti Bibiana Ng dan atlet Program Podium, Johnathan Wong, menggalas cabaran Malaysia.

Kalau ada sebarang perkara positif untuk dibawa pulang daripada kempen skuad ini adalah menerusi peningkatan prestasi Alia Sazana Azhari dan Mohamad Lutfi Othman yang begitu hampir ke final dalam acara 25 meter pistol wanita serta 50 meter rifle tiga posisi.

Begitu juga Abraham Eng Wei Jin dalam acara double trap yang memperbaiki rekod bidikan terbaik.

Namun, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berharap sesuatu dilakukan membabitkan Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) dan kerajaan agar pembangunan sukan menembak tidak terus tercicir. 

"Pada awal pertandingan, atlet kita mencatat keputusan yang rendah sehingga mempengaruhi markah keseluruhan mereka menjadi rendah yang menyebabkan mereka gagal melepasi ke final.

"Kami harus balik dan menjalankan bedah siasat, kami perlu bersama-sama melihat kelemahan," kata Presiden MOM, Datuk Seri Norza Zakaria.

"Kami harap pihak persatuan dapat bekerjasama dengan MOM, termasuk bagaimana kerajaan boleh membantu meningkatkan sukan menembak. 

"Negara seperti India melahirkan penembak pada usia muda lagi. 

"Kami bukan sahaja ingin mengatasi kelemahan, malah melihat kepada pesaing-pesaing lain yang begitu pantas menyaingi kuasa-kuasa besar," kata Norza lagi. 

Advertisement

Must Watch Video