Skip to main content

Sukan Lain

MCKK Perdana 7s: Tuan rumah cemerlang dalam aksi pembukaan

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

ragbi-mckk-7s.jpg
Pasukan tuan rumah, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), membuka tirai Kejohanan Ragbi MCKK Perdana 7s dengan penuh yakin apabila mengatasi Sabah College, Kota Kinabalu (SCKK) 36-0 dalam kumpulan C di Perak, petang tadi.

Turun dengan misi besar untuk mendakap semula trofi NJ Ryan, try pertama MCKK hadir melalui Muhammad Harithshah Kaharudin untuk pasukan mereka mendahului SCKK 5-0. Selepas itu, Muhammad Danial Ishkandar menjarakkan kedudukan buat MCKK di depan 10-0 menerusi try kedua.

Adam Danial terus cemerlang untuk meletakkan MCKK semakin selesa apabila larian derasnya terus menghukum barisan pertahanan SCKK untuk try ketiga dan menjadikan kedudukan 15-0.

Harithshah sekali lagi melakukan try keempat disusuli conversion untuk meletakkan MCKK semakin kukuh dengan kedudukan 22-0. 

Harithshah terus menjadi duri dalam daging apabila menyempurnakan try kelima pasukannya diikuti conversion untuk MCKK di depan untuk mengakhiri babak pertama 29-0.

Mendapat sokongan penuh, MCKK yang kali terakhir unggul sebagai juara pada 2013 terus garang dalam babak kedua. Hasilnya, Muhammad Isyraf Rosli mendapatkan satu lagi try disusuli coversion untuk MCKK mengutip kemenangan pertama 36-0 di halaman sendiri.

Ketua jurulatih MCKK, Mohd Romli Saad, berkata: “Alhamdulilah kemenangan pertama akan menyuntik lagi semangat pemain untuk aksi seterusnya. Kalau diikutkan, pasukan ini sering muncul empat pasukan terbaik.”

“Keputusan yang diperoleh hari ini juga akan menjadi suntikan moral buat pemain untuk beraksi lebih baik. Sebagai tuan rumah, sudah pastinya ada tekanan sendiri kerana harapan tinggi diletakkan kepada kami.

"Saya yakin dengan pemain saya sendiri, lagipun mereka sudah berada di tingkatan lima, jadi saya harap mereka akan hadirkan sesuatu dalam saingan tahun ini,” katanya selepas perlawanan tadi.

Perlawanan lain hari ini menyaksikan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Othman Abdul Wahab (SHOAW) juga memulakan perlawanan dengan bergaya. 

Turun beraksi dalam kumpulan A, SHOAW menang 19-0 ke atas SMK King Edward VII (KE VII). 

Lain-lain perlawanan, Sekolah Menengah (SM) Sultan Abdul Halim (SEMSAH) menang 21-5 ke atas Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak (INTEGOMB) dalam kumpulan B. Kumpulan D pula, Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) menang 15-10 mengatasi SM Sains Pokok Sena (SAINA).

Dalam kumpulan E, SM Sains Hulu Selangor (SEMASHUR) menewaskan SMK King George V (KGV) 19-2 dan Sekolah Datuk Abdul Razak (SDAR) mengatasi SMK Abi (ABI) 10-0 dalam kumpulan F.

 

Advertisement

Must Watch Video