Skip to main content

Paralimpik

Marzuki tawar cadangan menang-menang kepada MSN

suresh.jpg
Berbaki tujuh bulan menuju Sukan Paralimpik Tokyo 2020, jurulatih memanah para, Marzuki Zakaria, menawarkan cadangan menang-menang buat semua pihak, khususnya Majlis Sukan Negara (MSN) yang mempunyai kekangan bajet untuk menghantar atlet ke luar negara.

Selepas anak buahnya, S. Suresh, layak ke Paralimpik Tokyo 2020 pada Jun tahun lalu, seorang lagi pemanah compound, Wiro Julin, turut menempah slot sama dalam Kejohanan Kelayakan Benua Asia di Bangkok, Oktober lalu, namun tidak banyak kejohanan kompetitif disertai sejak itu.

Justeru, Marzuki mengambil pendekatan dengan mahu mencadangkan kepada MSN serta Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) untuk mereka berdua berlatih bersama dengan atlet normal kebangsaan memandangkan Khairul Anuar Mohamad juga turut bersiap untuk menghadapi Sukan Olimpik Tokyo, Julai ini.

Namun, ia memerlukan perbincangan rapi, khususnya bersama jurulatih skuad negara, Lee Jae-hyung, memandangkan jurulatih berpengalaman dari Korea Selatan itu turut mempunyai pelan rapi buat Khairul Anuar.

"Kami mungkin memerlukan simulasi dan mencari beberapa pasukan yang sesuai mengikut kriteria kami untuk mengadakan pertandingan ujian. Sekiranya tiada, kami bercadang untuk berlatih di MSN bersama atlet normal," katanya.

Selain itu, Marzuki turut mencadangkan agar perlawanan persahabatan dijalankan bersama pasukan pasukan negeri yang turut bersiap untuk menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) Johor.

"Sukar untuk mencari atlet para yang bertaraf paralimpik. Namun, bagi atlet normal pula, mereka sedang giat membuat persiapan menghadapi saingan Sukma."


Editor: Ammar Hakim

Advertisement

Must Watch Video