Kontinjen negara bakal diberi 98 slot terbuka dalam Sukan Komanwel Gold Coast 2018 yang meliputi 15 jenis sukan, namun ia tidak termasuk beberapa acara berpasukan seperti bola keranjang wanita, hoki dan ragbi yang layak secara merit.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Imran Tuanku Ja'afar, menjelaskan daripada senarai 98 atlet itu, 71 daripadanya telah disenarai akhir sambil hanya lima jenis sukan, iaitu renang, olahraga, menembak, ping pong dan triatlon yang masih belum di senarai akhir untuk atlet yang mewakili negara.
Secara keseluruhan, jumlah atlet yang dijangka bakal membawa cabaran negara di Gold Coast berkemungkinan mencecah 160 atlet.
“Kami memilih 71 atlet dan masih belum membuat kata putus bagi lima jenis sukan, iaitu renang, olahraga, menembak, ping pong dan triatlon,” kata Tunku Imran.
Skuad bola keranjang wanita bakal membuat penampilan kedua di pentas Komanwel selepas kali terakhir dipertandingkan di Melbourne 2006 manakala pasukan berbasikal kebangsaan hanya akan menghantar atlet bagi acara trek dengan 11 daripadanya lelaki dan Fatehah Mustapha akan mengetuai empat atlet wanita.
Skuad bola keranjang wanita diletakkan dalam Kumpulan B bersama New Zealand, Jamaica dan India.
“Kami menyasarkan aksi bertemu Jamaica atau India kerana New Zealand adalah lawan sukar,” ujar Yoong Sze Yuin, jurulatih skuad bola keranjang wanita negara.
“Untuk acara lelaki, kami hanya menghantar dua penyertaan manakala wanita bakal mengisi enam slot,” tambah pengurus pasukan berbasikal negara, Ramlay Ibrahim.
Penulis Jemputan
Wed Oct 04 2017