E-SUKAN
MAL MY: Atlet paralimpik, wanita mula serlahkan bakat minggu depan
Bintang-bintang generasi baru e-sukan Malaysia akan memulakan langkah permulaan mereka minggu hadapan (18 Mac) apabila Mobile Legends: Bang Bang Academy League Malaysia (MAL MY) akan memulakan musim sulungnya.
Dikuasakan oleh MOONTON Games dan IO ESPORTS dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Esports Integrated (ESI), liga yang baru dilancarkan ini menawarkan platform yang lebih mudah diakses kepada para atlet muda di Malaysia serta rangka kerja yang lebih jelas untuk memasuki dunia esukan profesional.
Pertaruhan utama adalah slot kelayakan ke Mobile Legends: Bang Bang Professional League (MPL) Malaysia, liga peringkat tertinggi dalam negara.
Iklan
Fikri Rizal Mahruddin, Ketua Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan di MOONTON Games berkata: "Musim sulung MAL MY mungkin masih dalam peringkat pra-musim, tetapi kami sudah dapat melihat perkembangan positif yang berlangsung di peringkat akar umbi bagi MLBB Esports.
"Kami melihat bakat-bakat muda berpotensi menyertai sirkit profesional dan datang bukan sahaja di kawasan Lembah Klang, yang merupakan lokasi rumah Arena MPL Malaysia, tetapi juga dari negeri-negeri sejauh Sarawak, Pulau Pinang dan Kelantan.
"Kami juga melihat lebih banyak kepelbagaian dalam senarai pemain kami, dengan lebih ramai atlet wanita dan individu kelainan upaya (OKU) yang mahu mengejar aspirasi esukan mereka di pentas pertandingan MAL MY musim ini. Ini adalah perkembangan yang sangat baik untuk pembangunan esukan kebangsaan secara keseluruhan, terutama dengan usaha kami untuk mempertahankan maruah negara di Kejohanan Dunia M6 yang bakal berlangsung di Malaysia pada penghujung tahun ini."

Dari Sukan Para ASEAN ke MAL MY
Tragedi yang menimpa Ahmad Syakirin (nama samaran Syakz) apabila beliau mengalami kemalangan pada 4 Januari, 2022, yang menyebabkannya kehilangan kaki kanannya dan kehilangan fungsi pada tangan kirinya. Walau bagaimanapun, kejadian itu tidak menghalang beliau dari menggapai impian di dalam esukan. Selepas beberapa bulan melalui proses pemulihan dan rehabilitasi, atlet Axis Eldians itu kembali bangkit untuk memenangi pingat perak bagi Malaysia pada Sukan Para ASEAN ke-12 pada tahun lalu. Kini beliau berhasrat untuk membuktikan bahawa beliau mampu bersaing dengan yang terbaik di Malaysia melalui pentas MAL MY.
Syakz berkata: "Pada awalnya, saya tidak percaya bahawa saya boleh bermain menggunakan satu tangan sahaja dan saya kurang keyakinan dengan diri sendiri. Tetapi apabila saya berjumpa dengan para pemain MLBB dari golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di luar sana yang boleh bermain dengan begitu baik hampir tiada masalah, saya berbisik kepada diri saya sendiri: 'jika orang lain boleh melakukannya, mengapa saya tidak boleh?'
"Dengan sokongan daripada rakan-rakan dan keluarga saya, saya memulakan perjalanan saya untuk belajar cara bermain sebagai pemain MLBB 'satu tangan'. Alhamdulillah, saya dipilih untuk mewakili Malaysia dalam acara MLBB Para ASEAN 2023 dan mencapai tempat kedua secara keseluruhan.
"Ramai berkata e-sukan adalah untuk semua jadi saya ingin mempersembahkannya di atas pentas MAL MY.
"Harapan saya adalah untuk memberikan inspirasi kepada mereka di luar sana untuk mendorong mereka mengejar impian, sepertimana apa yang telah saya lakukan sebelum ini."
Must-Watch Video