Skip to main content

Sukan Lain

LTdL: TSG catat sejarah tersendiri

ovechkin.jpg
Terengganu Cycling Team (TSG) mencatat sejarah tersendiri apabila buat julung kali meraih kemenangan peringkat dalam Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018 selepas pelumba importnya, Artem Ovechkin, mengungguli peringkat kelima dari Bentong ke Cameron Highlands hari ini.

Peringkat kelima membabitkan jarak 169.4 kilometer itu menjadi tumpuan, khususnya buat pakar pendakian dengan kategori Hors Class di Tanah Rata menjadi buruan.

Terlebih dahulu, tiga zon pecutan diharungi pelumba, iaitu di Raub, Cheroh serta Sungai Koyan sebelum pendakian kategori satu di Ringlet menjadi halangan pertama.

Ovechkin adalah antara lapan pelumba yang membuat pemecahan bagi memimpin perlumbaan menuju ke zon pendakian pertama berkenaan di samping pelumba Team Sapura Cycling (TSC), Muhammad Nur Aiman Zariff.

Berbaki 10km ke garisan penamat, Ovechkin terus menjarakkan diri sehingga tidak dapat disaingi pelumba lain.

Hasilnya, pelumba kelahiran Russia itu menamatkan saingan selaku juara dengan catatan 4 jam 24 minit dan 49 saat, disusuli Benjamin Dyball daripada pasukan St George Continental Cycling dan pelumba Dimension Data, Amanuel Ghebreigzabhier Werkilul.

Kejayaan itu menyaksikan Ovechkin merampas jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan dengan kelebihan 32 saat di depan Dyball di samping menerajui jersi merah raja bukit dengan 40 mata.

"Pada 20km terakhir, saya melihat ada beberapa pelumba cuba membuat asakan. Saya agak sedikit kepenatan tetapi masih mempunyai tenaga untuk menamatkan perlumbaan di tempat pertama," kata Ovechkin.

"Kami memiliki perancangan untuk melahirkan lebih ramai pelumba basikal tempatan dan berharap terus bersaing dalam saingan LTdL pada masa akan datang," kata Pengarah Eksekutif TSG, Datuk Tengku Farok Hussin.

Jelajah LTdL 2018 diteruskan dalam peringkat keenam bermula dari Tapah ke Tanjung Malim sejauh 108.5km esok, dengan hanya satu zon pecutan di Langkap dan juga satu zon pendakian di Felda Besaut.
 

Advertisement

Must Watch Video