Skip to main content

Advertisement

Sukan Lain

LTdL: TSC sasar jersi kuning, putih

tsc.jpg
Sapura Cycling Team (TSC) meletakkan sasaran untuk merangkul jersi kuning (pelumba terbaik keseluruhan) selepas mengikuti latihan intensif selama tiga bulan menjelang perlumbaan Le Tour de Langkawai (LTdL) 2019 bermula Sabtu depan.

Dibentuk dua tahun lalu, pasukan itu turut menyasarkan jersi putih selaku Pelumba Terbaik Asia melalui pertaruhan tiga pelumba muda tempatan, iaitu  Muhamad Zawawi Azman, 24, Akmal Hakim Zakaria, 22 dan pelumba berusia 21 tahun, Muhamad Nur Aiman Zariff.

Pengurus pasukan, Mohd Sayuti Zahit, berkata pelumba dari Australia, Benjamin Dyball, menjadi sandaran pasukan untuk meraih jersi kuning berdasarkan pengalaman dan pencapaian bekas pelumba pasukan benua, St George Continental Cycling Team (St George), itu.

Menurutnya, Dyball dan rakan senegara, Jesse Ewart, serta pelumba Moldova, Cristian Relianue, dijangka menampilkan persembahan terpuji bagi membantu merangkul jersi kuning itu.

Bagaimanapun, beliau mengakui perlumbaan peringkat keempat dari Shah Alam ke Genting Highlands merupakan saingan penting dan oleh itu ia memerlukan strategi pasukan pada peringkat tersebut.

“Kami harap untuk memberi saingan sengit dalam LTdL tahun ini, khususnya pendakian ke Genting Highlands yang disifatkan sebagai 'queen stage’ dengan tawaran mata tertinggi dalam perlumbaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata buat masa ini pasukan itu mengunakan strategi peringkat demi peringkat dan berharap enam pelumba dalam pasukan itu masing-masing dapat melaksanakan strategi yang dirancang.

Sayuti berkata pasukan itu kini menghuni ranking utama dalam Jelajah UCI Asia dan berharap mengekalkan kedudukan itu selepas LTdL.

Dyball, 29, menduduki tempat kedua di belakang pemenang jersi kuning, Artem Ovechki, yang menyaksikan pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) dari Russia itu menawan peringkat pendakian Cameron Highlands tahun lalu dan menamatkan perlumbaan di tempat ketiga keseluruhan.

Dyball bukan nama asing dalam perlumbaan di Asia dan pencapaian terbarunya ialah mengungguli acara lebuh raya dan ujian masa individu dalam Kejohanan Oceania di Tasmania, Australia, dua minggu lalu selauin meraih kedudukan ketiga dalam Jelajah Tochigi di Jepun, dua minggu lalu.

Mengenai persediaan tiga pelumba tempatan, Sayuti, berkata mereka telah menimba pengalaman dan pendedahan dalam Jelajah Herald Sun di Melbourne, Australia, bulan lalu dan Jelajah Taiwan serta Jelajah Tochigi.

Saingan LTdL 2019 bakal bermula dari Kuala Lumpur dan tamat menerusi perlumbaan kriterium di Pulau Langkawi, dengan lapan peringkat perlumbaan melibatkan jarak keseluruhan 1,239.6km.

-- BERNAMA

 

Advertisement

Must Watch Video