SUKAN LAIN
LTdL: TSC hampir berputih mata
Team Sapura Cycling (TSC) nyaris berputih mata terlepas jersi kuning pendahulu keseluruhan setelah pelumbanya, Benjamin Dyball, mengalami kemalangan menuju penamat perlumbaan peringkat terakhir Le Tour de Langkawi (LTDL) hari ini.
Dyball mengalami kemalangan itu pada 30 kilometer terakhir menuju ke garisan penamat.
Situasi itu mencetus kebimbangan kerana perbezaan masa yang dimiliki pelumba itu sebelum ini adalah 50 saat, kini berkurangan menjadi 27 saat, ditambah basikalnya turut mengalami masalah mekanikal susulan kejadian itu.
Iklan
Bagaimanapun, dia berjaya untuk bangkit dan menamatkan saingan dalam kelompok peloton hadapan untuk menjadi pemenang jersi kuning pendahulu keseluruhan LTdL 2019.
"Saya tidak pasti mengapa saya mengalami kemalangan. Saya bangkit meneruskan saingan dan gembira di atas kemenangan ini," kata Dyball.
Ia satu kejayaan yang cukup bermakna buat TSC yang baru sahaja tiga tahun ditubuhkan dan menyertai saingan ini.
Lebih manis, TSC turut berada di tangga kedua sebagai pasukan terbaik keseluruhan dan Muhammad Zawawi Azman pulang sebagai pelumba terbaik Malaysia.
"Saya sangat bersyukur di atas kejayaan ini. Saya juga tumpang gembira di atas kejayaan Dyball selaku pemenang keseluruhan," kata Zawawi.
"Kami telah bekerja keras dalam persiapan kami menjelang LTdL dan kejayaan ini merupakan satu pencapaian terbaik TSC," kata pengurus TSC, Mohd Sayuti Zahid.
"Dalam saingan LTdL kali ini, pasukan Malaysia berjaya menamatkan saingan di tempat kedua salah seorang pelumba daripada pasukan tersebut telah memenangi jersi kuning. Ia membuktikan kebolehan pasukan berbasikal Malaysia bersaing dalam saingan bertaraf antarabangsa," jelas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Must-Watch Video