Skip to main content

Sukan Lain

LTdL: PKBM senarai enam pelumba sarung jersi skuad kebangsaan

ltdl.jpg
Naib Presiden 4 Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Norazman Abu Samah, mengumumkan senarai enam pelumba yang bakal menyarung jersi negara dalam edisi ke-27 saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 yang akan bermula 23 hingga 30 September ini.

Enam pelumba berkenaan ialah Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil, Muhsin Al-Redha Misbah, Muhammad Nur Aiman Rosli, Zulhelmi Zainal, Muhammad Shaiful Adlan Mohd Shukri dan Muhammad Zawawi Azman.

“Sudah tentu PKBM membuat penelitian dan saringan sebelum menyenaraikan enam pelumba terbaik. Mereka yang dipilih ini dianggap kombinasi terbaik dengan kehadiran empat bekas pelumba Sapura.

“Bersandarkan prestasi kesemua pelumba terbabit pada perlumbaan Tour Gateh D’Tranung baru-baru ini, saya percaya mereka mampu meraih positif pada perlumbaan LTdL tahun ini.

“Jika dibuat penilaian, barisan enam pelumba ini telah memperlihatkan prestasi baik apabila mereka berjaya meraih podium dalam setiap peringkat perlumbaan Tour Gateh D’Tranung,” katanya menerusi Nadi Arena.
Sementara itu, ketua pasukan LTdL, Zawawi Azman menyasarkan anak buahnya meraih podium bagi acara kali ini meskipun bakal menerima tentangan daripada pelumba hebat ternama dunia.

LTdL 2023 berstatus proseries bakal menyusuri 11 daripada 12 negeri di Semenanjung, membabitkan jarak keseluruhan 1278.1 kilometer.

Seramai 132 pelumba mewakili dua pasukan worldteam, lapan pasukan proteam, 11 pasukan continental dan satu pasukan kebangsaan akan mengambil bahagian.

Kehilangan ibu bapa ketika usia remaja bukan penghalang kepada pelumba berusia 23 tahun ltdl negara, Zulhelmi Zainal, untuk mempamerkan persembahan meyakinkan dalam setiap perlumbaan yang disertainya. 

Biarpun terpaksa berdepan dengan kehilangan insan terpenting, anak muda kelahiran Kluang, Johor itu enggan menoleh ke belakang lagi sebaliknya bertekad menjadi pelumba basikal yang disegani.

Bagi saingan LTdL kali ini, Zulhelmi berazam untuk bersaing dengan pelumba lain dan sekiranya berpeluang ingin menyasarkan podium.

Untuk rekod, Zulhelmi pernah merangkul emas Kejohanan Remaja Asia 2018, Sukma Johor 2021 dan berada dalam kelompok 10 terbaik bersama kelab Eropah.
 

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video