SUKAN LAIN
LTdL: PKBM kecewa penganjur gagal pikat pasukan profesional dunia
Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) kecewa dengan penganjur Le Tour de Langkawi (LTdL), Human Voyage (M) Sdn Bhd, yang gagal menarik penyertaan pasukan jelajah profesional dunia bagi edisi ke-24 perlumbaan berbasikal berprestij Asia itu.
Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abdul Wahab, berkata badan induk itu bimbang Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) tidak akan mengiktiraf LTdL 2019 sebagai perlumbaan berstatus 2.0 Hors Class susulan ketiadaan pasukan jelajah profesional dunia.
"Kalau mengikut peraturan UCI, sekurang-kurangnya satu atau dua pasukan jelajah profesional dunia mesti menyertai kejohanan berkenaan sekiranya mahu diiktiraf sebagai 2.0 Hors Class. Jadi, apabila kami semak siaran media yang dihantar semalam kepada PKBM, tiada kelibat pasukan berkenaan.
Iklan
“Kami amat sedih kerana kali ini tiada kehadiran pasukan jelalah profesional dunia dan melihat kepada keadaan sekarang, LTdL seolah-olah seperti perlumbaan 2.1 dan bukannya Hors Class dan terpulang kepada UCI dan kami tunggu dan lihat (untuk tindakan selanjutnya),” jelas Abu Samah.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam majlis pengenalan pelumba Malaysia dalam LTdL 2019 di Sepang, hari ini.
Mengulas lanjut, Abu Samah mendakwa Human Voyage (M) Sdn Bhd sebelum ini bercadang membawa enam pasukan jelajah profesional dunia menyertai LTdL 2019, namun perkara berkenaan tidak terlaksana.
"Kami tidak mahu UCI menurunkan taraf perlumbaan ini susulan ketiadaan pasukan jelajah profesional dunia kali ini,” kata Abu Samah yang turut mendakwa PKBM baharu sahaja menerima senarai penuh pasukan bertanding daripada syarikat berkenaan, semalam.
Untuk rekod, LTdL 2014 mencatatkan penyertaan tertinggi pasukan jelajah profesional dunia, iaitu sebanyak enam pasukan.
Sementara itu, pelumba berpengalaman, Nik Mohd Azwan Zulkiflie, yang mengetuai cabaran Malaysia dalam LTdL 2019, bertekad meraih jersi putih yang pernah dimenanginya pada peringkat ketiga tahun lal, sambil berharap skuad negara dapat meraih satu kemenangan podium sebagaimana yang disasarkan PKBM.
Dia yang mempunyai pengalaman di laluan berbukit dan landai, turut yakin gandingannya bersama beberapa pelumba muda lain mampu memastikan skuad negara meraih keputusan positif.
"Saya cuba untuk dapatkan kemenangan peringkat atau podium. Sasaran saya adalah pada peringkat kelima dan ke atas memandangkan peringkat keempat di Genting Highlands dijangka dikuasai pakar pendakian.
"Ketiadaan pasukan jelajah profesional dunia kali ini tidak banyak bezanya kerana pasukan benua seperti TSG dan Sapura dijangka mempunyai kelebihan berdasarkan pengetahuan pelumba mereka mengenai laluan perlumbaan di negara ini,” jelas Nik Mohd Azwan.
Selain pelumba kelahiran Kelantan itu, skuad negara turut dibarisi seorang lagi pelumba berpengalaman, Sofian Nabil Omar Mohd Bakri serta empat pelumba muda, iaitu Zamirul Adlisham Zulkefli, Nurfitri Amar Rosli, Shahmir Aiman Abdul Halim dan Azli Najmi Zulkefli.
LTdL 2019 melibatkan lapan peringkat sejauh 1,226.1km dan bermula di Kuala Lumpur dan berakhir di Pulau Langkawi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video