Pelumba Itali, Matteo Pelucchi, meneruskan pecutan hebat untuk meraih kemenangan kedua berturut-turut buat dirinya dalam perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi 2019 (LTdL) hari ini.
Selepas memenangi peringkat kelima dari Tanjung Malim ke Taiping semalam, pelumba berusia 30 tahun daripada pasukan Androni Giocattoli-Sidermec itu juga mengejutkan dengan memenangi peringkat keenam sejauh 130.8km dari Bagan ke Alor Setar.
Pelumba Itali itu melepasi garisan penamat di hadapan Masjid Zahir, Alor Setar dalam masa 2 jam 47 minit 19 saat selepas berkayuh merentasi tiga zon di Sungai Petani, Gurun dan Pendang.
“Kami menunggang dengan pantas, pasukan saya cuba menempatkan diri dalam setiap kumpulan yang melakukan pemisahan awal dan kami cuba merapati kelompok pelumba serta memecut (ke arah garisan penamat).
"Saya berharap untuk melakukan kemenangan hatrik esok tetapi ia bukannya mudah. Dua peringkat terakhir di Langkawi mungkin memberi lebih peluang untuk memecut, kami sudah pasti mahu mencuba,” katanya.
Ini adalah kemenangan podium LTdL keempat Pelucchi, selepas menamatkan perlumbaan di tempat kedua dalam Peringkat Ketiga (Muar ke Putrajaya) Isnin lalu dan Peringkat Kesembilan LTdL 2012 dari Kemasik ke Kuala Terengganu semasa penyertaan sulungnya dalam LTdL.
Sementara itu, hari ini amat bermakna buat pasukan Terengganu Inc TSG Cycling (TSG) apabila pelumbanya, Youcef Regugui dari Algeria, dan pelumba dari Malaysia, Mohd Harrif Saleh, masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga dalam kelompok yang sama.
"Perlumbaan hari ini memang laju dari awal sampai akhir, Alhamdulillah kami dapat dua kedudukan podium. Apabila saya melihat Youcef berada di hadapan, saya cuba halang dan terus ikut dia, strategi itu menjadi," kata Harrif.
Dia berharap untuk kekal dalam persaingan untuk jersi hijau (Raja Pecut), selepas ketinggalan 17 mata di belakang Travis McCabe daripada Floyd’s Pro Cycling, yang mendahului dengan 72 mata.
Tiada perubahan dalam pemegang jersi utama dengan Benjamin Dyball, pelumba Australia daripada Team Sapura Cycling (TSC), dengan catatan masa 24:04:12s mengekalkan jersi kuning (pendahulu keseluruhan) untuk hari kedua berturut-turut dengan kelebihan 27 saat ke atas pelumba Colombia, Hernan Ricardo Aguirre Caipa daripada Interpro Cycling Academy.
Sementara itu, pelumba Australia, Angus Lyons daripada pasukan Oliver's Real Good Racing, dan pelumba Kazakhstan, Vadim Pronskiy daripada Vino-Astana Motors, masing-masing mempertahankan jersi merah (Raja Gunung) dan putih (Pelumba Terbaik Asia).
Perlumbaan akan diteruskan di Pulau Langkawi, tempat kelahiran pertandingan ini dengan dua peringkat terakhir berlangsung esok dan Sabtu ini.
-- BERNAMA