BERBASIKAL
LTdL: Nasib belum ada buat Page
Pengurus Team Sapura Cycling (TSC), Sayuti Zahit, berpendapat nasib belum menyebelahi Dylan Page selepas pelumbanya itu sekali lagi terlepas peluang untuk meraih kedudukan podium dalam Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018.
Peringkat ketujuh dari Nilai ke Muar hari ini menyaksikan TSC mengatur strategi untuk memburu kedudukan podium susulan persembahan konsisten Page dalam beberapa peringkat sebelum ini.
Pelumba yang berasal dari Switzerland itu hampir melaksanakan misi berkenaan tetapi terpaksa akur apabila menamatkan saingan sejauh 222.4 kilometer itu di tempat keempat.
Iklan
"Nasib belum menyebelahi Page. Hari ini adalah peluang terbaik untuknya meraih podium tetapi menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat.
"Bagaimanapun, dia telah mempamerkan aksi terbaik dan membantu pasukan," kata Sayuti.
Dalam masa sama, Sayuti mahu TSC terus memberi cabaran sengit menjelang peringkat terakhir perlumbaan dari Rembau menuju ke Dataran Merdeka, Kuala Lumpur esok.
Walaupun pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Artem Ovechkin, dilihat mempunyai sedikit kelebihan selaku pendahulu keseluruhan, Sayuti percaya peluang masih terbuka buat beberapa pelumba untuk merampas kedudukan berkenaan.
"Daripada 1 minit 50 saat, kini dia telah menjarakkan masa dengan perbezaan sehingga 20 saat.
"Laluan esok akan merangkumi tiga pendakian, jadi ia akan menjadi kelebihan buat pasukan-pasukan yang beraksi baik seperti hari ini," tambahnya.
Must-Watch Video