Skip to main content

Sukan Lain

LTdL kembali ke Pulau Langkawi

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

ltdl.jpg
Penganjur Le Tour de Langkawi (LTdL), Ciclista Sports, mengesahkan pulau lagenda itu akan kembali menjadi salah satu lokasi perlumbaan bagi edisi 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif LTdL, M. Kumaresan, menjelaskan pemilihan semula Pulau Langkawi sebagai destinasi perlumbaan adalah di atas permintaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Ciclista Sports mempunyai kontrak selama dua tahun bagi menganjurkan perlumbaan tersebut.

Menurut Kumaresan lagi, pihaknya akan mencuba untuk membuat perancangan lebih awal bagi edisi 2019, khususnya mengenai laluan perlumbaan serta pasukan yang akan mengambil bahagian.

Namun, ia juga bergantung kepada perbelanjaan yang akan diluluskan oleh menteri belia dan sukan yang baru kelak.

"Kami perlu lakukan perlumbaan di Langkawi. Ia sebagai salah satu syarat yang diberitahu KBS. 

"Kami juga akan menunggu menteri baru yang akan dilantik untuk kami mendapat maklumat yang lebih terperinci dan bagi menyelesaikan perkara berhubung bajet," ujarnya. 

Dalam pada itu, Kumaresan turut mengesahkan pihaknya telah melunaskan wang kemenangan berjumlah hampir RM900,000 kepada semua pasukan dan pelumba yang terlibat dalam kejohanan tahun ini.

Pasukan profesional dari Kazakhstan, Astana, meraih jumlah terbesar, iaitu RM141,000 manakala Terengganu Cycling Team (TSG) menjadi pasukan tempatan meraih wang kemenangan paling banyak dengan RM83,000.

"Saya mahu maklumkan di sini, hadiah kemenangan berbentuk kewangan, kami sudah berikan kepada semua pasukan. Ia berjumlah RM897,350. 

"Ia adalah jumlah keseluruhan yang kami beri untuk pasukan yang menang pada tahun ini. Kami telah membuat proses pembayaran pada minggu lepas," kata Kumaresan lagi.

Advertisement

Must Watch Video