Skip to main content

Sukan Lain

LTdL: Kehadiran pasukan profesional beri manfaat

jurulatih-skuad-berbasikal-lebuh-raya-negara,-mohd-yusof-abdul-nasir.jpg
Jurulatih skuad berbasikal lebuh raya negara, Mohd Yusof Abdul Nasir, mahu barisan pelumbanya bekerja lebih keras untuk mempertahankan kedudukan kedua keseluruhan dalam perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 dari 7 hingga 14 Februari depan selepas ia ditukar kepada status siri profesional.

Perlumbaan LTdL 2020 yang melibatkan 10 peringkat itu turut merangkumi laluan di Sabah dan Sarawak yang menyaksikan Terengganu sebagai permulaan bagi peringkat di Semenanjung Malaysia sebelum berakhir di Langkawi selain mengekalkan Genting Highlands sebagai peringkat pendakian.

Ia cabaran buat skuad negara selepas status temasya itu bertukar kepada profesional dengan penglibatan sekurang-kurangnya enam pasukan profesional. 

Meskipun menghadapi kekangan untuk menjalani latihan di Genting Highlands ketika ini, Yusof menuntut pelumba kendaliannya supaya menyambut baik cabaran itu dengan menganggap ia peluang bagi meningkatkan prestasi mereka. 

"Kalau keenam-enam pasukan pasukan bertaraf profesional ini sah menyertai LTdL, ia akan meningkatkan tahap dan menjadikan perlumbaan ini antara yang terbesar di Asia. 

"Secara tidak langsung, perlumbaan ini akan menjadi lebih berdisiplin dan membolehkan pelumba Asia beraksi di samping pelumba bertaraf profesional," katanya di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil hari ini. 

Buat masa ini, tiga pasukan yang bakal bertanding dalam perlumbaan edisi ke-25 itu ialah Sapura Cycling Team (TSC), Terengganu Cycling Team (TSG) serta pasukan kebangsaan. 

"Saya mahu mengingatkan kepada pasukan negara, termasuk skuad kebangsaan, TSC dan TSG, supaya melakukan yang terbaik.

"Kami ingin membanggakan negara di halaman sendiri."


Editor: Shaiful Shamsudin 

Advertisement

Must Watch Video