Pelumba muda negara, Zulhelmi Zainal yang sebelum ini berlumba untuk skuad berbasikal lebuhraya negara di Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun lalu bakal menggalas cabaran baharu dengan mewakili pasukan benua dari Indonesia, Nusantara Pro Cycling Team di edisi kali ini.

Selepas tampil kali pertama di pentas LTdL tahun lalu, Zulhelmi teruja apabila berpeluang menyarung jersi Nusantara pada kejohanan berbasikal lebuh raya paling berprestij di rantau Asia yang akan bermula dari 29 September hingga 6 Oktober depan.

“Ia umpama mimpi menjadi kenyataan. Selepas berakhirnya LTdL tahun lalu, saya sememangnya menanam azam untuk mewakili pasukan benua dan ia akhirnya menjadi kenyataan.

"Pada awal tahun ini, saya menyertai pasukan benua Nusantara dengan kontrak selama setahun dan ini merupakan peluang buat saya untuk mengembangkan karier dalam arena lumba basikal lebuh raya.

Kalau diikutkan, pada edisi lepas, Afiq Huznie muncul sebagai satu-satunya pelumba tempatan yang mewakili pasukan luar negara dan ia juga merupakan pasukan yang sama iaitu Nusantara Pro Cycling Team.

Kali ini, Zulhelmi mengikut jejak langkah yang sama demi melebarkan sayap kariernya ke luar negara.