Skip to main content

Sukan Lain

LTdL 2023: Anugerah Most Combative Rider kembali jadi rebutan

ltdl-1.jpg
Perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 bermula dari 23 hingga 30 September ini bakal menyaksikan anugerah Most Combative Rider kembali menjadi rebutan setiap pelumba yang bertanding.

Selepas kali terakhir anugerah itu diperkenalkan pada LTdL edisi 2017, status Most Combative Rider sudah pasti mampu menghadirkan persaingan lebih sengit dan kompetitif dalam kalangan pelumba.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, anugerah Most Combative Rider itu ditaja jenama air mineral semula jadi tempatan, Bubbles O2.

“Anugerah Most Combative Rider yang ditentukan oleh sebuah panel juri khas akan diberikan kepada pelumba yang menunjukkan semangat juang tinggi.

“Contohnya, usaha merencana dan melakukan breakaway, tempoh masa berada dalam kelompok depan dan mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi dalam membantu rakan-rakan sepasukan.

“Dengan kehadiran Bubbles O2 dalam penajaan anugerah ini, ia bukan sahaja memberi impak positif kepada kualiti LTdL itu sendiri, malah mampu melonjakkan nama Bubbles O2 ke persada sukan dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis memperkenalkan Bubbles O2 sebagai rakan penaja rasmi pertama LTdL 2023 di MSN, Bukit Jalil pada Sabtu.

Untuk rekod, pelumba tempatan, Loh Sea Keong pernah diumumkan sebagai pemenang anugerah Most Combative Rider pada Peringkat 2 dan 4 LTdL 2016 serta Peringkat 1 dan 8 LTdL 2017.-Sinar Harian

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video