Skip to main content

Advertisement

Sukan Lain

LTdL 2018: Perubahan kepada lapan peringkat tidak jejas laluan

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

ltdl-2018.png
Penganjur Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018, Ciclista Sports, akur dengan keputusan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) apabila terpaksa mengurangkan jarak perlumbaan kepada lapan peringkat sahaja. 

Saingan LTdL edisi ke-23 menyaksikan 10 peringkat perlumbaan berada dalam perancangan pihak penganjur selepas kali terakhir jumlah itu diadakan pada 2014. 

Hanya selepas itu, ia dikurangkan kepada lapan peringkat, iaitu jumlah yang masih berada dalam kriteria perlumbaan Kelas Hors oleh UCI.

Ketua Pegawai Eksekutif LTdL 2018, M. Kumaresan, menjelaskan pihaknya terpaksa menerima ketetapan UCI kerana tarikh perlumbaan LTdL di dalam kalendar badan induk dunia itu bermula pada 18 Mac dan bukannya 16 Mac seperti diumumkan sebelum ini. 

"Kami akur dengan keputusan UCI yang hanya meluluskan penganjuran LTdL selama lapan hari sahaja. 

"Kami juga ingin berterima kasih kepada UCI kerana meluluskan pertukaran tarikh," katanya. 

Dalam masa sama, Kumaresan turut menyatakan Ciclista Sports kini dalam usaha mengenal pasti laluan yang perlu dikemaskinikan dengan ia dijangka dimuktamadkan dalam tempoh seminggu lagi. 

Dianggarkan 20 peratus laluan sedia ada terpaksa dikaji semula bagi memenuhi slot lapan peringkat perlumbaan tetapi peringkat yang membabitkan pendakian kategori Hors di Cameron Highlands dijangka tidak terjejas. 

"Kami tiada masalah untuk menetapkan laluan baru. 

"Kami akan mengekalkan pelan asal merangkumi laluan dari utara ke selatan serta Pantai Timur," ujarnya lagi. 

Advertisement

Must Watch Video