Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menggariskan lima aspek yang menjadi fokus utamanya sebaik sahaja melaporkan diri di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini.
Hannah menegaskan, beliau tidak mempunyai hasrat untuk memperkenalkan program baru pembangunan sukan negara, sebaliknya mahu terus memperkasa program sedia ada.
“Perkara pertama saya mahu pastikan sukan dapat diakses untuk semua. Keduanya, memberikan keadaan yang selamat kepada atlet kita.
“Ketiga daripada segi kebajikan atlet dan saya akan dapatkan pandangan daripada mereka. Keempat, selalunya orang akan rasa kalau ada kepimpinan baru, mungkin ada program baru.
“Tetapi saya tidak ada hasrat untuk memperkenalkannya (program baharu), sebaliknya saya mahu mendengar dan mencari jalan memperkasakan program sedia ada.
“Yang kelima membabitkan aspek belia, yang mana turut membabitkan lebih kurang 17 kementerian lain dan saya menjalin kerjasama untuk pastikan ada kesinambungannya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pertamanya sebagai Menteri Belia dan Sukan di Menara KBS, Putrajaya hari ini.
Hannah, yang mengangkat sumpah jawatan itu pada Sabtu lalu, mengambil alih portfolio sebagai Menteri Belia dan Sukan yang sebelum ini disandang Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Dalam pada itu, Hannah berkata, beliau akan mengadakan perjumpaan dengan barisan atlet negara dalam masa terdekat bagi membincangkan hal keperluan dan kebajikan mereka.
“Sebab itu saya kata tidak mahu buat program baru supaya atlet ada kesinambungan mereka. Kalau asyik tukar hala tuju, susah untuk atlet kita ikut,” ujarnya.
Mengenai status Bajet 2023, Hannah memberitahu keputusan sama ada peruntukan untuk kementerian berkenaan diubah atau tidak terpulang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan.
“Untuk Bajet 2023, kita kena tunggu arahan daripada Menteri Kewangan (Anwar) iaitu Perdana Menteri. Itu bukan sahaja melibatkan KBS tetapi semua kementerian,” jelasnya.
Untuk rekod, Bajet 2023 yang dibentangkan kerajaan sebelum ini memperuntukkan RM332 juta kepada KBS bagi melaksanakan program latihan serta fasiliti sukan negara pada tahun depan.
Kredit: Sinar Harian
Kredit foto: KBS Malaysia
Sinar Harian
Tue Dec 06 2022