Skip to main content

Hoki

Liga Hoki Dunia Wanita: Keazaman lakar sejarah

hoki-wanita-130617.jpg
Berlepasnya skuad hoki wanita negara ke Belgium merungkai kesepian mawar terpinggir yang perlu memenuhi syarat -- sebuah lagi kejutan perlu dilakukan anak buah Muhammad Dhaarma Raj Abdullah. 

Walaupun ada yang sangsi dengan impian ini, ia mahu dihapuskan dengan kejayaan bersejarah!

Siapa yang tidak kenal dengan Dhaarma, seorang jurulatih yang sering mengutamakan kepentingan pasukannya selain tidak pernah puas dengan kejayaan demi kejayaan.

"Realiti yang saya hadapi membuatkan diri sendiri jatuh sakit," katanya.  

Satu kemenangan dalam saingan separuh akhir Liga Hoki Dunia di Belgium bakal meletakkan Malaysia sebagai nama baru yang berada di landasan tepat untuk bersaing dengan pasukan gergasi dunia seperti Australia, New Zealand, Belanda mahupun Argentina dalam saingan Piala Dunia 2018 di London. 

Namun, kredibiliti Malaysia sekadar membawa bekalan menerusi kedudukan di ranking ke-22 dunia sudah pasti dipandang remeh pasukan lain. 

Dhaarma tidak mahu mengalah dan dalam masa yang sama, tekanan yang dirasainya ketika ini begitu kuat selain mengakui dia sukar melelapkan matanya setiap malam, memikirkan nasib skuadnya di Belgium nanti. 

"Setiap malam saya memikirkan bagaimana kami mahu menghadapi Sepanyol dan Belgium?

"Hanya ada satu peluang untuk kami mengubah nasib hoki wanita."

Pandangan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, mungkin memberi sedikit kelegaan buat Dhaarma. 

Subahan yakin dengan keberanian Dhaarma mengatur pasukannya sungguhpun pada satu ketika, idea Dhaarma dianggap tidak masuk akal. 

Namun, keberkesanan daripada idea itu tidak dapat dinafikan. 

"Itulah sikap tidak mudah mengalah yang saya lihat untuk berjaya dengan adanya formula ini. 

"Di peringkat Asia Tenggara kita begitu mantap, kami mahu ke tahap dunia. 

"Di peringkat Asia, kami akan mengekalkan skuad ini dan memberikan lebih banyak pendedahan," kata Subahan pula. 

Di bumi Belgium, anak buah Dhaarma meletakkan harapan besar untuk mencipta sejarah manis untuk layak buat julung kalinya ke Piala Dunia 2018. 

Kelibat Nuraini Abdul Rashid membawa misi rahsia menerusi penekanan 'drag flick' yang diwarisi daripada S. Kuhan menerusi tunjuk ajar Mohd Zulhairi Hashim umpama senjata rahsia Dhaarma. 

"Alhamdulillah saya cepat mempelajari teknik ini, insya-Allah tiada masalah nanti," katanya. 

Istimewanya skuad Dhaarma adalah semangat luar biasa yang dimiliki pemainnya yang tahu apa yang perlu dilakukan sepanjang saingan nanti. 

Pengorbanan Aidilfitri kali ini diharapkan membawa kepada pulangan yang dihajati.

Skuad Dhaarma begitu kepingin untuk bersaing dalam Piala Dunia dan mereka berada di landasan terbaik apabila dengan hanya satu kemenangan terlaksana, sejarah baru bakal dicipta ketika Malaysia langsung tidak diletak sebagai pasukan pilihan. 
 

Advertisement

Must Watch Video