Skip to main content

Hoki

Liga Dunia: Malaysia raih kemenangan selesa

liga-dunia-malaysia-raih-kemenangan-selesa.png

Ketajaman jentera serangan menggembirakan jurulatih hoki negara, Stephen Van Huizen, selepas Malaysia membelasah Oman 6-1 untuk merampas takhta Kumpulan A, pusingan kedua Liga Hoki Dunia di Dhaka, hari ini.

Kemampuan penyerang negara meledak empat daripada enam gol menerusi gerakan padang menjadi petanda amaran buat pasukan lawan di Stadium Hoki Nasional Maulana Bhasani.

Jentera serangan yang dibarisi Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi, Shahril Saabah, Rashid Baharom dan Mohd Ramadan Rosli melancarkan serangan bertali arus, termasuk mendapatkan 11 pukulan sudut penalti.

Prestasi cemerlang yang dipamerkan oleh skuad hoki negara dilihat mampu menghasilkan lebih banyak kemenangan di Dhaka.

"Kami menjangkakan peningkatan dalam keserasian antara pemain dalam perlawanan ini. Ini merupakan persiapan kami menghadapi perlawanan akan datang," kata Stephen.

Malaysia mendahului hasil gol Shahril pada minit ke-11, sebelum pertahanan, Muhammad Razie Abd Rahim, melebarkan kedudukan 15 minit kemudian.

Tengku Ahmad Tajuddin meledak gol ketiga pada minit ke-33.

Al-Lawati menghasilkan gol buat Oman tiga minit kemudian dalam usaha mencari semangat buat mereka bangkit.

Bagaimanapun, Malaysia membalas dengan tiga lagi gol -- dua gol disempurnakan oleh Nik Aiman dan Tengku Ahmad Tajuddin.

"Kami menghadapi sedikit kesukaran di awal permainan kerana Oman banyak melakukan kekasaran ke atas pemain-pemain Malaysia tetapi kami berjaya menyerap tekanan itu dan meraih kemenangan yang penting," jelas Nik Muhammad Aiman.

"Pemain-pemain kami masih kekurangan pengalaman dan masih muda, kami melepaskan banyak peluang untuk menjaringkan gol," kata jurulatih Oman, Mohamed Obais.

Advertisement

Must Watch Video