Skip to main content

Hoki

LHM: Hatrik Peillat bantu THT raih kemenangan pertama

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

tnbthunderbolt14117.jpg
THT 6 TNB THUNDERBOLTS 2

Pakar pukulan sudut penalti dunia, Gonzalo Peillat, mencipta hatrik bagi membantu Pasukan Hoki Terengganu (THT) membenam TNB Thunderbolts 6-2 dalam saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) di Kuala Terengganu, malam ini.

Skuad muda TNB Thunderbolts begitupun terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah dengan gol seawal minit keenam menerusi gol padang Arif Sabron.

Tuan rumah berpeluang menyamakan kedudukan pada minit kelapan, malangnya percubaan pemain import dari Pakistan, Ammad Shakeel Butt, gagal menemui sasaran.

Kebangkitan THT pada suku kedua dimulakan tonggak Argentina, Peillat, yang menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-17.

Hanya tiga minit kemudian, Muhammad Sufi Ismat menjaringkan gol kedua THT selepas bijak menyambung hantaran Peillat untuk menjadikan kedudukan 2-1 sehingga tamat babak pertama.

Skuad kendalian Sarjit Singh itu kemudian dihadiahkan penalti strok pada minit ke-34 dan disempurnakan Peillat untuk jaringan kedua peribadinya dalam perlawanan tersebut.

THT terus memperkemaskan rentak yang menyaksikan Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran menjaringkan gol keempat hasil gerakan padang pada minit ke-43.

TNB Thunderbolts merapatkan jaringan 2-4 apabila Muhammad Azammi Adabi memanfaatkan penalti stroke pada minit ke-51.

Tuan rumah melengkapkan pesta gol dengan tambahan dua gol daripada Joaqin Menini (m-56) dan Peillat (m-59) bagi mengesahkan kemenangan pertama mereka.

Tiga mata itu membolehkan THT mengutip empat mata daripada dua perlawanan untuk terus memberi saingan kepada pendahulu liga, Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Advertisement

Must Watch Video