Skip to main content

Hoki

Kumar pertimbang keputusan bersara

s-kumar_1.jpg
Penjaga gol skuad hoki negara, S. Kumar, mahu mempertimbangkan semula hasrat untuk menggantung kayu hokinya selepas membantu Malaysia mara ke Piala Dunia 2018 di samping turut menerima anugerah Penjaga Gol Terbaik, Separuh Akhir Liga Hoki Dunia.

Pencapaian tersebut seakan-akan menjadi pencetus untuk dia menilai semula keputusan bersara.

Penjaga gol berusia 37 tahun itu menewaskan penjaga gol ternama dari Argentina, Juan Manuel Vivaldi, dan Pirmin Blaak dari Belanda, sekaligus menjadi bukti dia masih kekal antara penjaga gol terbaik dunia.

"Sebelum ini, saya pernah juga dinobat penjaga gol terbaik tetapi ini adalah kejohanan yang besar, jadi saya amat berbangga dengan pencapaian ini. 

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan kerana mereka juga menjadi antara sebab utama saya menerima anugerah ini," katanya.

Kumar mengakui anugerah itu menjadi penyuntik semangat buat skuad negara yang bakal melangkah ke Piala Dunia.

"Selepas ini, kami perlu bekerja lebih keras, terutama menuju ke Sukan Asia dan Sukan Komanwel. Jadi, kami perlu meneruskan prestasi ini," tambahnya.

Sementara itu, pakar pukulan sudut penalti negara, Razie Rahim, kekal mendahagakan kejayaan meskipun berjaya mencapai sasaran ke Piala Dunia.

"Kami sememangnya meletakkan sasaran yang tinggi dalam kejohanan ini. Jadi, kami agak kecewa kerana gagal ke final Liga Hoki Dunia," jelasnya.

Pengendali, Stephen van Huizen, turut melontarkan pujian terhadap kemampuan anak buahnya.

"Pemain senior sudah boleh memahami corak permainan dan kejohanan ini membuktikan pemain negara kita sudah mampu menyaingi corak gerakan pantas pasukan lawan," ujar Van Huizen.

Advertisement

Must Watch Video