Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Pn. Azura binti Abidin, berkesempatan meninjau perkembangan inisiatif Kampung Angkat MADANI di Kampung Temelong, Lenggong sejurus selesai menghadiri mesyuarat rasmi di Ipoh.
Lawatan kerja ini memberi tumpuan kepada status naik taraf fasiliti di Pulau Temelong Campsite & Water Rafting, yang berpotensi besar menjadi hab rekreasi antarabangsa serta destinasi tarikan pelancong baharu di daerah Lenggong.
Advertisement
Antara pembangunan infrastruktur utama yang sedang dilaksanakan termasuklah naik taraf sistem pencahayaan dan jeti, pembinaan tandas awam, pembesaran surau, penyediaan tapak perkhemahan Baharu, dan penambahbaikan kemudahan asas untuk pengunjung.
Inisiatif ini turut melibatkan kerjasama erat antara JBSN, Jawatankuasa Pembangunan & Keselamatan Kampung (JPKK) Temelong serta Kelab Rakan Muda Warisan Alam, dalam memastikan pembangunan yang mampan dan memberi manfaat kepada komuniti setempat.
Menariknya, dalam lawatan tersebut, KP JBSN turut berkesempatan mencuba sendiri aktiviti kayak, salah satu produk rekreasi air yang semakin mendapat sambutan pengunjung di Pulau Temelong.
Penautan kepada Indeks Belia Malaysia
Menurut “Facts & Figures Indeks Belia Malaysia 2023” yang dikeluarkan oleh IYRES, skor keseluruhan IBM ’23 ialah 74.39 berada pada tahap sederhana (iaitu peningkatan berbanding tahun sebelumnya).
Ini menunjukkan bahawa kesejahteraan belia di Malaysia secara agregat berada dalam status yang stabil, tetapi masih wajar dipertingkatkan melalui intervensi berterusan.
Di samping itu, indikator berkaitan kesihatan mental belia juga mencerminkan cabaran yang wujud; Indeks Kesihatan Mental Belia Malaysia 2023 mencatat skor 71.91, merujuk tahap sederhana.
Pemilihan Kg. Temelong sebagai Kampung Angkat MADANI secara langsung berkait dengan usaha memacu skor IBM ke paras lebih tinggi melalui pembangunan sosial inklusif, peluang keterlibatan belia, serta kemudahan fizikal dan aktiviti sukan yang menyokong kesejahteraan generasi muda.
Dengan pendekatan Kampung Angkat MADANI, JBSN komited menjadikan pembangunan fasiliti rekreasi bukan sahaja sebagai tarikan pelancongan, tetapi juga pemangkin kepada kesejahteraan belia, peluang ekonomi komuniti desa, dan pengukuhan identiti Lenggong sebagai destinasi pelancongan warisan dan alam semula jadi.