Skip to main content

Advertisement

Hoki

Korea Selatan batal aksi persahabatan, Malaysia jumpa India

hoki.jpg
Skuad hoki wanita negara terpaksa melupakan hasrat untuk ke Korea Selatan apabila pasukan kebangsaan itu membatalkan aksi persahabatan mereka yang sepatutnya berlangsung pada 15 Mac ini sebagai persiapan ke Siri Final Hoki Dunia di Ireland, Jun depan. 

Korea Selatan membatalkan aksi persahabatan yang sepatutnya berlangsung hampir dua minggu lagi tetapi ketua jurulatih negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah, berkata dia faham situasi yang dihadapi lawan itu.

"Sekiranya saya mengendalikan skuad Korea Selatan, mungkin saya juga akan membatalkan aksi itu kerana mereka merupakan pasukan yang berada di kedudukan ranking lebih tinggi. Peluang mereka lebih tinggi," katanya.

"Apabila mereka tahu mengenai undian yang dikeluarkan, mereka mungkin akan bertemu kami dalam separuh akhir jika Malaysia meneruskan kemaraan dalam Siri Final Dunia. Saya rasa ia mungkin salah satu sebab mengapa mereka tidak mahu menentang Malaysia."

Bagaimanapun, Dharma mengesahkan Malaysia akan melayan kunjungan India bagi aksi persahabatan awal bulan depan dan pengendali itu mengakui kehadiran lawan yang berada di kedudukan ranking lebih tinggi itu mampu membantu dalam persiapan anak buahnya.

"Perlawanan menentang India memang tidak disangkakan kerana mereka kebiasaannya jarang ke Malaysia dan status ranking mereka jauh berbanding kami. Kali ini, mereka datang ke sini atas dana sendiri. Saya rasa perlawanan itu akan membantu kami dalam segala persiapan," tambah Dharma.

 

Advertisement

Must Watch Video